Kerajaan sedia hadapi cuaca panas kering – KASA

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bersiap-siaga menghadapi kemarau panjang serta cuaca panas dan kering dengan meningkatkan usaha pencegahan kegiatan pembakaran terbuka dalam negara.

Menurut Timbalan Menterinya, Dato’ Dr Ahmad Masrizal Muhammad, bagi menghadapi situasi itu, usaha pencegahan ke atas aktiviti pembakaran secara terbuka dilakukan kerana ia berpotensi menyebabkan jerebu di peringkat tempatan.

Advertisement

Antaranya termasuk mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) dan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka serta prosedur operasi standard (SOP) dan pencegahan pembakaran tanah gambut sejak awal tahun ini.

Selain itu, kerajaan juga akan mempertingkatkan rondaan darat dan udara melalui penggunaan dron di lokasi yang dikenal pasti mudah terbakar selain mempertingkatkan penguasaan terhadap kes pembakaran terbuka di kawasan-kawasan tanah gambut, tapak pelupusan sampah, dan kawasan yang sering terbakar.

Usaha bagi mencegah pembakaran terbuka itu akan melibatkan 292 buah check dam, 89 tube well, 59 buah kolam takungan dan 5 buah menara tinjau.

Beliau berkata demikian semalam ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) mengenai langkah kerajaan mengekang risiko jerebu yang semakin meruncing di Malaysia, setelah Gunung Berapi Sinabung di Indonesia meletus, kelmarin. – HARAKAHDAILY 12/8/2020