Kemenangan: Antara mencapai dan hadapi ujian

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Kemenangan perjuangan Islam hanya akan dicapai apabila anggota gerakan ini memiliki sifat ikhlas dan sentiasa dipandu al-Quran di hadapan dan bukannya bertindak mengikut akal semata-mata.

- Advertisement -

ADUN Pengkalan Kubur, Ustaz Wan Roslan Wan Hamad menyatakan peringatan tersebut semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Indera Mahkota di Dewan Atabara, di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga EXCO Kerajaan Negeri Kelantan mengajak untuk mencapai kemenangan dengan melaksana agenda pembangunan yang selaras Islam sebagaimana dijayakan Kerajaan Kelantan dalam pemerintahannya.

Beritahunya, Kelantan di bawah pemerintahan PAS telah membawa tema ‘Membangun Bersama Islam’ di mana pelaksanaannya turut meliputi dalam arena sukan seperti menutup aurat bagi pemain bola sepak dan mendahulukan solat.

Bagi memenuhi cita-cita itu, setiap pendukung PAS serunya, mestilah mencontohi perjuangan yang telah diteladankan para Sahabat R.A di mana hingga sanggup berkorban nyawa gugur di medan hanya demi melihat Islam tertegak.

Ustaz Wan Roslan turut menegaskan dalam menuju untuk mencapai kemenangan, setiap ahli wajib taat kepada pemimpin selagi mana pemimpin itu juga mentaati Allah Taala dan Rasul S.A.W.

Terdahulu, Yang DiPertua PAS Indera Mahkota, Andansura Rabu menyeru perwakilan memahami ujian besar untuk mengisi kedudukan PAS kini sebagai sebahagian pemerintah untuk mentadbir urus negara.

“Kita kena bekerja keras dari akar umbi menyantuni rakyat, menyampaikan suara dan menyelesaikan masalah mereka, memperbaiki taraf hidup mereka,” ujarnya mengangkat tema ‘Mendepani Ujian Kemenangan’.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang mengajak untuk melakukan perubahan kepada cara berfikir, bertindak, bercakap dan bergaul selain berusaha mendepani ujian menerusi proses tarbiyah.

Peringatnya, kekuatan jati diri perlu dibina agar tidak hanyut kepada hal tidak berfaedah dan merugikan, selain mendukung bersungguh-sungguh usaha Muafakat Nasional.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffa Kamal Ab Hamid dan pemerhati dari Perhubungan PAS Pahang diwakili Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya. – HARAKAHDAILY 12/8/2020

- Advertisement -