KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kedah akan segera melaksanakan kerja-kerja pembaikan paip air bawah laut yang menyalurkan air terawat ke Pulau Langkawi, demikian umum Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Menurutnya, ketika ini terdapat kebocoran melibatkan kira-kira 24 lubang dalam satu jarak lebih kurang 3 kilometer disyaki akibat terkena sauh kapal besar di tengah laut antara Sungai Baru, Perlis ke Langkawi.
“Kerana paip itu dia ada kekuatan sendiri, setakat kapal nelayan ini, dia tak bocor. Terkena sauh besarlah. Jadi kita akan segera buat pembaikan, kerana kita kehilangan lebih kurang 20 juta liter sehari (MLD).
“Dilaporkan bahawa laut di kawasan itu telah menjadi tawar, telah menjadi tawar kerana telah bercampur dengan air terawat,” ujarnya pada sidang media mingguan di Wisma Darul Aman, Alor Setar, sebentar tadi.
Maklumnya juga, permohonan juga telah dibuat kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk mendapatkan geran bagi satu projek mengguna kaedah baharu bekalan air mentah dan dirawat di Pulau Langkawi. – HARAKAHDAILY 12/8/2020