Dulu sertai PAN, kini kembali kepada PAS

- Advertisement -

PASIR SALAK: Kecelaruan politik dan perebutan kuasa melibatkan jawatan Perdana Menteri dalam kalangan parti-parti Pakatan Harapan (PH) telah membangkitkan keresahan dan rasa hilang percaya rakyat terhadap pemerintahan mereka.

- Advertisement -

Pergolakan dalaman parti juga turut berlaku menyebabkan ramai menilai hakikat bahawa PH bukan sahaja tiada ‘pakatan’, tetapi juga tiada prinsip dan hala tuju di mana menyebabkan mereka yang jujur mulai berhijrah meninggalkan kemelut.

Terbaru, Ketua PAN Cawangan Kunci Air 4 Chenderong Balai, Mahamod Mohammad bersama 15 Ahli Jawatankuasa PAN Cawangan tersebut telah kembali ke pangkuan PAS pada satu majlis khas diadakan di kediamannya, di sini kelmarin dahulu.

Pada majlis dihadiri Timbalan dan Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Pasir Salak, Ustaz Jamaludin Yahya dan Yusof Abdullah itu, Mahamod telah menyerahkan borang memohon keahlian PAS semula dan ikrar sama dinyatakan mereka yang lain.

Mahamod yang dilantik menjadi Ketua Kampung mewakili PAN pada tahun 2018 menyatakan kekesalan dan insafnya terhadap perkembangan terjadi apabila melihat pucuk pimpinan PAN hanya asyik memfitnah dan memburukkan PAS.

“Agenda dan pengisian mereka cuma untuk jatuhkan PAS, kutuk PAS sebanyak mungkin, mencari kesalahan orang PAS. Tetapi tiada agenda lain,” ujarnya tutut memaklumkan tiada pertambahan keahlian berlaku di dalam PAN.

Beliau yang mesra dipanggil ‘Abang Eid’ juga melahirkan rasa syukur atas kesedaran itu dan seandainya diterima kembali kepada PAS berjanji akan istiqamah bersama perjuangan PAS hingga ke akhir hayatnya.

Ustaz Jamalud dalam ucapannya mengungkap kebenaran janji Allah iaitu dikupasnya dari ayat 160 surah al-Baqarah mengenai sifat orang yang bertaubat dan memperbaiki segala amal buruk mereka di mana Allah pula menerima taubat itu dan Mengasihi mereka.

Beliau mengajak untuk berjuang dalam PAS secara berjemaah dengan penuh keazaman dan tawakal tanpa menghirau kata-kata negatif yang cuba melemahkan hingga mendapat kemenangan di masa depan. – HARAKAHDAILY 12/8/2020

- Advertisement -