Dakwaan Asri Janggut keterlaluan – KPN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dakwaan yang dibuat oleh pemilik perniagaan Hot Burger Mohd Asri Hamid atau lebih dikenali sebagai Asri Janggut bahawa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tentera tidak menjaga solat adalah keterlaluan, demikian berkata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Jelasnya, pihak PDRM tidak pernah mengenepikan soal didikan moral dan agama kepada anggotanya.

- Advertisement -

“Ini (solat) soal kita dengan Tuhan dan PDRM tidak pernah ketepikan, didikan moral dan agama sentiasa disemarakkan dalam pasukan.

“Orang kena tahu yang PDRM juga ada hafiz dan setiap Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh negara mempunyai surau.

“Pihak PDRM juga menyediakan prasarana dan sentiasa memberi ruang untuk setiap pegawai dan anggota melaksanakan kewajipan masing-masing. Saya tidak boleh paksa semua orang sembahyang. Itu antara diri masing-masing dengan Tuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah Abdul Hamid, bagi pengambilan baharu setiap calon konstabel dan pegawai diwajibkan menjalani ujian agama.

Jelasnya, peraturan itu telah lama dilakukan dan ujian kefahaman asas agama kepada calon agama Islam ini membolehkan PDRM nilai siapa yang layak untuk menjadi anggota polis.

Semalam tular satu video di mana Asri mendakwa kebanyakan yang menyertai polis dan tentera tidak menjaga solat.

“Hisap rokok, tak jaga sembahyang. Cuba tanya anggota polis, subuh sembahyang tak? Bila last (kali terakhir) bawa isteri sembahyang subuh?

“Pernah tak tanya anak apa itu syahadah? Bermakna sebenarnya segala kuncinya,” katanya dalam satu video yang ditularkan.- HARAKAHDAILY 12/8/2020

- Advertisement -