APEC 2020: Malaysia terajui agenda sekuriti makanan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia sebagai tuan rumah bagi penganjuran persidangan Asia Pacific Economy Cooperation 2020 telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan kajian semula Pelan Tindakan Keselamatan Makanan APEC ke arah 2020.

Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyifatkan pelaksanaan kajian semula ini merupakan salah satu keberhasilan dan komitmen Malaysia dalam menerajui agenda sekuriti makanan dan pembangunan yang mampan di rantau Asia Pasifik.

- Advertisement -

Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, pelan tindakan tersebut telah dipersetujui di Beijing, China serta diguna pakai oleh 21 ekonomi APEC semenjak 2014 dan akan tamat pada tahun 2020.

“MAFI sedang dalam proses perlaksanaan kajian tersebut. Kajian ini akan menilai pencapaian ekonomi APEC berdasarkan matlamat-matlamat sepertimana yang digariskan dalam pelan tindakan merangkumi pembangunan lestari sektor pertanian dan perikanan, fasiliti pelaburan dan pembangunan infrastruktur serta pembangunan perdagangan dan pasaran,” ujarnya.

Selain itu, kata beliau, kajian tersebut juga akan meneliti cabaran dan impak Covid-19 terhadap sekuriti makanan dalam kalangan ekonomi APEC bagi mendapatkan lebih banyak maklumat dan input supaya kajian semula ini dijangka selesai bulan Oktober 2020.

Dalam pada itu, Che Abdullah (PAS-Tumpat) berkata sebagai tuan rumah APEC 2020, Malaysia berpeluang mencadangkan strategi dan matlamat yang perlu ditekankan dalam Pelan Tindakan Keselamatan Makanan APEC Pasca-2020 yang dijangka akan disediakan oleh New Zealand sebagai tuan rumah tahun 2021 dan Thailand sebagai tuan rumah tahun 2022.

Katanya, bagi memastikan kesinambungan kepada pelan tindakan sedia ada, Malaysia akan mengadakan perbincangan berterusan dengan New Zealand dan Thailand terutama yang melibatkan kepentingan dan keutamaan sekuriti makanan negara.

“Fokus utama kepada pengukuhan sekuriti makanan pasca Covid-19, pemerkasaan rantaian bekalan, peningkatan kerjasama pihak swasta, fasiliti perdagangan dan pelaburan serta pemantapan sistem pengeluaran makanan melalui teknologi moden selaras dengan IR4.0.

“Malaysia melalui Kumpulan Kerja Policy Partnership of Food Security (PPFS) yang diwakili oleh MAFI akan memainkan peranan aktif dalam sesi libat urus dan kerjasama dengan semua ekonomi APEC khususnya memastikan pelan tindakan pasca-2020 dapat dilaksanakan sewajarnya di peringkat ekonomi dan menyumbang kepada sekuriti makanan di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) meminta beliau menyatakan sejauh mana pelan tindakan Keselamatan Makanan APEC ke arah 2020 dikaji semula secara menyeluruh bagi menjamin keselamatan makanan (food Security) negara. – HARAKAHDAILY 12/8/2020

- Advertisement -