BUTTERWORTH: Seorang wartawan Sin Chew Daily ditahan semalam kerana menerbangkan drone di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini manakala drone miliknya dirampas.
Difahamkan, wartawan itu ditahan kerana menerbangkan drone secara haram untuk merakam gambar dan video orang ramai yang berkumpul di luar mahkamah sebelum ketibaan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng bagi menghadapi satu lagi pertuduhan rasuah berkaitan terowong dasar laut dan projek jalan-jalan utama di negeri ini.
Polis menahan wartawan itu kira-kira 9:15 pagi dan memeriksa keretanya sebelum membawanya ke Balai Polis Butterworth untuk dirakam keterangan dan dibebaskan dengan amaran pada 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata orang awam tidak dibenarkan menerbangkan drone di sekitar bangunan kerajaan.
“Kami ingin memberi amaran kepada semua termasuk pengamal media agar tidak menerbangkan drone di sekitar kompleks kerajaan. Ia menyalahi undang-undang dan kami akan mengambil tindakan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Terdahulu di mahkamah berkenaan, Lim didakwa menggunakan kedudukannya ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu sebuah syarikat mendapatkan projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong di Pulau Pinang. – BERNAMA