Usul Lipis: Pahang perlukan lebih banyak SMAN

- Advertisement -

LIPIS: Kerajaan Negeri Pahang perlu menambah lagi Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) supaya mencapai bilangan yang dapat memenuhi permintaan rakyat negeri ini, demikian gesa Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Lipis, Sobirin Duli.

- Advertisement -

Beliau menegaskan usul tersebut yang menerima sokongan sebulat suara para perwakilan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Lipis di Dewan Istiqamah Abdullah Sani, Kampung Berembang, di sini kelmarin.

Menurutnya, SMAN yang ada belum cukup untuk menampung permintaan tinggi rakyat negeri Pahang, malah hasrat ke arah penegakan sistem syariah dalam kehidupan Muslim mesti berlandaskan kepada ilmu.

“Maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri menyediakan peluang bagi mendapat ilmu kepada anak-anak negeri ini sebagai persediaan untuk melaksanakan penegakan sistem syariah dalam aspek kehidupan,” ujarnya.

Beliau juga dengan penuh semangat turut membentangkan usul supaya memperbaharui keazaman teguh bersama kepimpinan parti di semua peringkat dalam menghadapi kemelut dan pergolakan politik semasa.

Secara khusus katanya, demi untuk menjaga keutuhan penyertaan PAS dalam pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional, kerana sebarang kerapuhan hanya membebankan lagi tanggungjawab untuk dipikul.

Apatah lagi PAS tegasnya, adalah parti politik dan jemaah Islam yang kekal istiqamah, tegas dan jelas melandaskan dasar Islam dalam perjuangannya di negara ini di mana tentunya perlu menjadi contoh ikutan dan memimpin.

Usul tersebut juga mendapat sokongan padu yang sekali gus mengisyaratkan bahawa ahli PAS memberi walak kepada kepimpinan PAS untuk menggunakan kebijaksanaan siyasah syar’iyyah mereka mempertahankan keutuhan pemerintahan.

MAT Kali Ke-52 ini turut meluluskan usul politik dibentang bahas oleh perwakilan Jawatankuasa PAS Lipis, Abdul Hamed Akob pada majlis turut dihadiri wakil Puteri Umno Bahagian Lipis, Norlisa Khalimi. – HARAKAHDAILY 11/8/2020

- Advertisement -