Usaha perkasa tahfiz, pondok dipertingkatkan

Foto: FB Dato' Dr Zulkifli Mohamad al Bakri
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dari masa ke semasa berusaha memastikan institusi pendidikan pondok, tahfiz dan sekolah agama di negara ini sentiasa kekal berdaya saing.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata ia selari dengan aspirasi negara untuk memartabatkan institusi pendidikan Islam dalam mendepani cabaran revolusi industri 4.0.

Katanya, bermula pada tahun 2017 kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan khas secara one-off sebanyak RM80 juta.

- Advertisement -

Peruntukan berkenaan merangkumi institusi pondok sebanyak RM50 juta dan institusi tahfiz sebanyak RM30 juta.

Manakala kata Ahmad Marzuk (PAS-Pengkalan Chepa) pada tahun 2018 kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM75 juta.

Peruntukan itu merangkumi institusi pondok sebanyak RM25 juta dan institusi tahfiz sebanyak RM50 juta yang disalurkan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Ulasnya lagi, pada tahun 2019 kerajaan memperuntukkan secara one-off merangkumi RM25 juta untuk institusi pondok, RM50 juta institusi tahfiz dan RM25 juta untuk sekolah agama yang disalurkan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ujarnya, keprihatinan kerajaan Persekutuan berhubung perkara itu dapat dilihat menerusi pembentangan bajet 2020 iaitu sebanyak RM100 juta diluluskan.

Katanya, RM25 juta diperuntukan kepada institusi pondok, RM50 juta institusi tahfiz dan RM25 juta untuk sekolah agama, keseluruhan peruntukan ini diagihkan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dato’ Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar) meminta beliau menyatakan jumlah peruntukan bagi sekolah agama, tahfiz dan pondok secara perbandingan pada tahun 2017, 2018, 2019 dan 2020, ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Dalam pada itu, Mujahid berkata sekurang-kurangnya semua dimaklumkan bahawa peruntukan daripada kerajaan terdahulu tinggi untuk tahfiz dan sekolah agama.

Sehubungan itu kata Mujahid tidak timbul isu yang menyatakan Pakatan Harapan (PH) tidak membela Islam dan sebagainya.

Melalui soalan tambahan, Mujahid meminta penjelasan perkembangan majlis tahfiz negara iaitu majlis lanjutan daripada dasar pendidikan tahfiz negara.

Majlis itu diadakan bagi tujuan perundangan, penguatkuasaan, kebajikan dan keselamatan kepada institusi tahfiz.

Ujarnya lagi, semasa kerajaan terdahulu diberi amanah untuk menjaga, pihaknya bekerjasama dengan kementerian kebajikan keluarga dan sosial untuk memastikan isu tahfiz yang sentiasa menjadi bahan fitnah dan menjadi isu di dalam masyarakat ditangani dalam bentuk satu majlis tahfiz negara.

Ahmad Marzuk bagaimanapun menolak sisi pandangan bekas Menteri Hal Ehwal Agama itu bahawa peningkatan peruntukan kepada semua institusi yang disebutkan itu adalah peningkatan secara biasa dari tahun ke tahun.

“Pemberian kepada pondok, sekolah tahfiz sebenarnya dimula daripada tahun 2015 lagi, di mana pada waktu itu zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah.

“Jadi tidak timbul soal ini merupakan perkara yang dimulakan oleh kerajaan PH,” tegas Ahmad Marzuk.

Katanya, menjawab berhubung perkembangan majlis tahfiz negara yang telah diluluskan penubuhannya pada September 2019, sedang giat membangunkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menggerakkan fungsi Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu terma rujukan SOP pengiktirafan Huffaz dan SOP pengiktirafan institusi tahfiz peringkat rendah dan tinggi.

“Menerusi MKN, kerajaan bukan sahaja dapat menjamin keselamatan institusi tahfiz tetapi juga menaik taraf aspek pensijilan, pengiktirafan institusi tahfiz.

“Pihak kerajaan akan terus komited untuk memperkasakan institusi tahfiz ini dan membentuk huffaz sebagai pelapis generasi masa depan negara,” kata Ahmad Marzuk. – HARAKAHDAILY 11/8/2020

- Advertisement -