Usaha cegah tragedi terheret ke kancah perang

Gabungan NGO Malaysia bentuk 'Aid4Lebanon' gerak misi bantuan dan sokongan

ke
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia telah membentuk ‘Aid4Lebanon’ yang bukan sahaja bertujuan memberikan bantuan kemanusiaan, bahkan untuk mengelakkan daripada tercetusnya peperangan di negara tersebut.

- Advertisement -

Gabungan tersebut yang telah dibentuk pada 7 Ogos lalu menjadi kolaborasi untuk menyelaras segala bentuk bantuan dan sokongan kepada mangsa-mangsa tragedi letupan besar di Beirut, Lubnan baru-baru ini.

Hasil perbincangan Sekretariat Aid4Lebanon bersama Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Awang menyimpulkan bahawa rantau Asia Barat berhadapan dengan kemelut politik yang tidak stabil ekoran kejadian itu.

Pengarah Aid4Lebanon, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah berkata, rentetan daripada krisis politik tersebut dibimbangi akan membawa kepada kancah peperangan dan pergolakan di dalam negara tersebut.

“Krisis politik Timur Tengah dan pergelutan kuasa antara kerajaan dan Hizbullah menjadikan Beirut ibarat seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Jadi, saya menyeru semua NGO untuk turut sama memainkan peranan aktif dengan membantu rakyat dan negara Lubnan yang ditimpa musibah ini.

“Sekali gus, dengan dana yang akan disalurkan dapat membantu rakyat dan negara tersebut yang menghadapi krisis kewangan yang teruk dan jumlah kematian yang semakin meningkat kesan daripada pandemik Covid-19.

“Pihak Sekretariat Aid4Lebanon akan menyalurkan bantuan kepada rakan-rakan NGO yang berada di Lubnan dengan kerjasama Wisma Putra,” katanya pada sidang media khas di Pejabat Agung PAS, di sini malam tadi.

Sebanyak 33 NGO bekerjasama dalam menggembleng tenaga dan kepakaran masing-masing ke arah memaksimumkan sumber dan tenaga yang dimulai dengan solidariti gerakan kutipan dana dari rakyat Malaysia.

Pelbagai bentuk dana dan bantuan akan disalurkan iaitu bantuan alat perubatan, makanan, khemah sementara serta pakaian dan kit kebersihan.

Pada 4 Ogos lalu, letupan besar di Beirut itu telah mencatatkan korban lebih 137 nyawa dan menyebabkan kecederaan lebih 5,000 mangsa, manakala seramai 300,00 mangsa kehilangan tempat kediaman, selain darurat diisytiharkan selama dua minggu. – HARAKAHDAILY 11/8/2020

- Advertisement -