Terengganu mulakan JPKK Januari 2021

JPKK akan menggantikan MPKK yang sedia ada sekarang mulai tahun depan setelah diluluskan oleh kabinet baru-baru ini.

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri, ketika sesi penggulungan Sidang DUN Terengganu, hari ini. (Foto KHAIRUL AZLAM MOHAMAD)
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan memulakan muafakat di peringkat komuniti kampung melalui pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang menggantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Menteri Besarnya, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bermula Januari tahun depan, kerajaan negeri akan menambah komposisi dalam JPKK.

- Advertisement -

Katanya, JPKK akan menggantikan MPKK yang sedia ada sekarang mulai tahun depan setelah diluluskan oleh kabinet baru-baru ini.

“Bermula Januari 2021, kita (Terengganu) akan menambah komposisi JPKK, sekarang ini masih MPKK hingga akhir tahun ini.

“Tahun depan bermulanya JPKK, yang telah diluluskan oleh kabinet, yang diterima pakai seluruh negeri-negeri di Malaysia kecuali di negeri pembangkang.

“Pembangkang ada JPKKP (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan),” ujarnya kepada pemberita selepas Mensyuarat Kedua Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Ke-14, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Menurut Samsuri, komposisi ahli JPKK itu akan ditambah dengan penyertaan dari kalangan ahli parti Umno dan BERSATU.

Namun, katanya keahlian dan pengagihan jawatan dalam JPKK itu sedang diteliti dan diperhalusi agar berjalan lancar.

“Perubahan itu maka, di negeri Terengganu komposisi yang sedia ada akan ditambah ahlinya dari parti-parti Umno dan Bersatu, yang telah menjadi sebahagian dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Pusat.

“Bilangan dan bagaimana cara itu masih sedang kita teliti, perhalusi tetapi secara dasarnya, mereka akan turut bersama dalam komuniti kampung bersama dengan parti PAS yang ada sekarang (MPKK) ini,” jelasnya.

Menjawab persoalan di Terengganu, Muafakat Nasional (MN) agak sukar dilaksanakan, kata Menteri Besar itu memerlukan proses yang teliti dan cermat.

Ini kerana, katanya, masalah ketegangan politik yang wujud sekian lama dan berakar umbi dalam masyarakat itu perlu diuruskan dengan baik.

“Perkara ini memerlukan proses, perlu teliti dan cermat kerana suasana (politik) di negeri Terengganu ini, masalah yang wujud telah berakar umbi sekian lama dalam masyarakat.

“Saya tidak mahu, kita hanya mampu menyelesaikan masalah di kalangan kepimpinan sahaja tetapi di bawah tidak dapat selesai.

“Apa yang kita mahu ialah daripada atas hingga sampai ke akar umbi. Keharmonian dan kerjasama muafakat itu dapat berjalan dengan yang terbaik,” ujarnya.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS menjelaskan, lebih baik kerjasama PAS dan Umno ini dimulakan di peringkat bawahan dahulu sedikit demi sedikit.

“Ada kepimpinan mungkin mudah untuk bertemu, berbincang dan bermesyuarat tetapi (orang) di bawah bagaimana?

“Itulah yang saya katakan kita perlu mengambil sedikit masa untuk meletakkan asas-asas perkara yang boleh kita laksanakan dengan waktu yang segera.

“Sebab itulah, kita (kerajaan) mengambil pendekatan untuk bermula Januari tahun depan, kita akan mulakan dengan (komuniti) kampung. Selepas itu, kita akan tengok kesannya bagaimana.

“Kalau kesannya positif, dan ada ruang yang lebih untuk kita perkasakan dalam bentuk kerjasama lain, kita akan teruskan.

“Pada saya lebih baik kita bergerak satu ‘step’ (langkah) ke satu ‘step’ begitu, daripada kita terus melompat yang akhirnya memberi kesan kepada kita sendiri,” tegasnya.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Dr Abd Latiff Ahmad, mengumumkan, MPKK dan MPKKP akan menjalani penjenamaan semula masing-masing kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

JPKK akan dikuatkuasakan di 10 negeri yang ditadbir parti kerajaan Persekutuan iaitu Johor, Melaka, Perak, Pahang, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Labuan.

JPKKP pula dikuatkuasakan di empat negeri yang ditadbir pembangkang iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Sabah. – HARAKAHDAILY 11/8/2020

- Advertisement -