Sambut baik tubuh RCI TH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menyambut baik pertimbangan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kemelut yang melanda Tabung Haji (TH).

Menurut Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, pertimbangan kerajaan memberikan gambaran positif memandangkan PAS sebelum ini berpendirian sama sejak pelbagai isu yang melanda TH.

- Advertisement -

“Desakan penubuhan RCI ini bukanlah baharu, PAS telah mengeluarkan pendirian tersebut sejak pelbagai isu mengenai TH mula dibangkitkan pada Disember 2018.

“Langkah ini bukanlah beerti mengundur ke belakang dalam mengemukakan penyelesaian terhadap permasalahan TH, tetapi bagi memastikan kedudukan sebenar TH di sebalik pelbagai polemik yang telah dibangkitkan,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Susulan itu beliau berkata, dengan penubuhan RCI segala persoalan bakal terjawab termasuk isu penjualan sebahagian besar aset milik TH Plantations di bawah harga pasaran yang menggemparkan umat Islam di negara ini.

“Kesemua ini memerlukan jawapan yang tuntas dan saya percaya ia hanya boleh diselesaikan dengan penubuhan siasatan yang bebas dan tiada campur tangan politik.

“Justeru, langkah penubuhan jawatankuasa RCI bagi menyelesaikan kemelut TH adalah tepat pada masanya,” tambahnya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengakui suatu badan bebas dan berkuasa harus diwujudkan untuk meneliti serta menilai transaksi TH.

Jelas Zulkifli, siri cadangan yang diutarakan pihak berkaitan bagi merungkai polemik mengenai TH akan diputuskan menerusi mesyuarat jemaah menteri dalam tempoh terdekat ini.

Katanya lagi, jemaah menteri akan membincangkan sedalam-dalamnya berkenaan isu TH, termasuk cadangan dan kewajaran penubuhan RCI.

Zulkifli menyampaikan hasrat itu ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Kementeriannya di Dewan Rakyat. – HARAKAHDAILY 11/8/2020

- Advertisement -