RCI TH jalan terbaik – Fadhli

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Komitmen kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu Tabung Haji (TH) adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam institusi itu.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata RCI adalah satu-satunya jalan bagi menyelesaikan kemelut dan pelbagai isu yang dikaitkan dengan Tabung Haji.

“Kita mahu segala urusniaga dan pelaburan yang dibuat Tabung Haji menepati matlamat dan hasrat penubuhannya seperti yang digagaskan Prof Diraja Ungku Aziz dalam kertas kerjanya pada tahun 1959. 

“Sementara menunggu Mesyuarat Jemaah Menteri membuat keputusan berkenaan RCI dan jika diluluskan, sementara siasatan dijalankan, Pemuda PAS menggesa supaya pengurusan Tabung Haji yang sekarang ‘direhatkan’ dari tugas dan digantikan dengan pengurusan baru yang segar, berkelayakan, profesional serta tiada kaitan dengan pengurusan sebelum ini, baik di zaman kerajaan  PH mahupun BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Rakyat berkata kerajaan bersedia mempertimbangkan cadangan dan kewajaran menubuhkan RCI.

Bagaimanapun, perkara itu akan diputuskan menerusi mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat bagi membincangkan sedalam-dalamnya berkenaan isu TH, termasuk cadangan dan kewajaran penubuhan RCI.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata pihaknya juga menuntut supaya segala siasatan yang dibuat hendaklah dilakukan secara profesional, tanpa gundah ganjara dan tidak berpihak kepada sesiapa. 

“Kita mahu segala pekung dibuka bagi memastikan perjalanan Tabung Haji sentiasa di landasan yang betul, menepati hasrat sebagai institusi kewangan Islam terbesar yang menjaga amanah lebih 9.3 juta pendeposit,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya Pemuda PAS berharap agar dengan penubuhan RCI, ia dapat menghentikan segala spekulasi dan tuduhan yang merosakkan nama serta imej Tabung Haji. 

Tambahnya lagi, mengharapkan institusi itu dipelihara Allah dan berada di tangan pihak yang benar-benar layak.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan atas komitmen yang diberikan bagi menyelesaikan isu TH.- HARAKAHDAILY 11/8/2020

- Advertisement -