KUALA LUMPUR: PAS dan GERAKAN telah mengadakan pertemuan dua hala bagi membincangkan isu berkaitan tulisan Jawi di pejabat Parti GERAKAN di Ibu Negara, semalam.
Pertemuan ini melibatkan Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad dan Setiausaha Agung GERAKAN, Mak Kah Keong.
Kedua-dua pihak dalam pertemuan tersebut saling bertukar pendapat dan berbincang bagi menjernihkan kekeliruan dan pertembungan yang berlaku berkenaan isu tulisan Jawi.
GERAKAN menyatakan asas penolakan pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di peringkat sekolah rendah, namun bersetuju jika pembelajaran tulisan Jawi itu dilaksanakan di peringkat universiti.
Persoalan dan perbincangan mengenai Islam dan budaya kaum masing-masing turut menjadi topik yang diketengahkan dalam memahami asas serta tujuan pelaksanaan pemerkasaan tulisan jawi yang dibawa oleh pihak kerajaan.
Pertemuan tersebut juga membincangkan berkenaan keadaan politik semasa negara dan usaha boleh dilakukan oleh kedua belah pihak dalam mendepani konflik yang wujud.
Menurut Kamaruzaman, pendekatan diskusi ilmiah meja bulat seperti ini perlu disuburkan dalam mengurus pertembungan dan salah faham mengenai sesuatu isu.
Pertemuan itu turut dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dr Muhammad Zuhaili Saiman dan Ketua Pemuda GERAKAN, Henry Teoh Kien Hong. – HARAKAHDAILY 11/8/2020
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!