ECRL pelengkap jaringan sistem kereta api

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diteruskan akan menjadi pelengkap kepada sistem jaringan pengangkutan kereta api sedia ada.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata projek itu akan memberi manfaat kepada negeri di Pantai Timur khususnya bagi memendekkan jarak perjalanan ke ibu kota.

“Kita kena buka koridor ekonomi untuk Pantai Timur dengan menghubungkan tren penumpang dan kargo ke sana…sebab itu ECRL perlu dan dalam proses kita nak memuktamadkan.

- Advertisement -

“Saya harap kerajaan negeri berkaitan dapat sama-sama mencari formula kerana ini adalah ‘game changer’ (pengubah keadaan) untuk penduduk di Pantai Timur,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) berkenaan gambaran perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu sebagaimana yang diimpikan Menteri Pengangkutan itu.

Wee turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan bermusyawarah dengan semua negeri terlibat memandangkan jaringan ECRL tidak boleh dilaksanakan secara silo dan perlu dihubungkan dengan sistem pengangkutan awam sedia ada.
 
Kepada soalan asal Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) mengenai waktu pengoperasian semula perkhidmatan kereta api ekspres dari Tumpat, Kelantan melalui Pasir Mas, Tanah Merah seterusnya ke Kuala Lumpur dan sebaliknya, Wee berkata kerajaan bersedia mempertimbangkan pembukaan semula perkhidmatan kereta api ekspres dari Kuala Lumpur ke Tumpat.

Katanya, ini dapat direalisasikan jika ada permintaan tinggi dan setelah projek baik pulih dan naik taraf selesai dijalankan termasuk ketersediaan set-set tren yang boleh beroperasi di sektor itu.

Pada masa ini, beliau berkata kerajaan sedang memberi keutamaan kepada kerja naik taraf dan baik pulih kerosakan yang dialami oleh rangkaian kereta api bagi jajaran Gemas –Tumpat termasuk kerosakan akibat bencana banjir besar pada penghujung 2014.

Kerajaan turut memperuntukkan dana berjumlah RM874.7 juta bagi membaik pulih infrastruktur landasan dan pelbagai jentera di sektor Pantai Timur, katanya. – BERNAMA

- Advertisement -