‘DAP parti bermasalah’ – Ahmad Fadhli

- Advertisement -

BUKAN sekali malah sudah berkali-kali DAP cuba memancing dan mengusik kesabaran orang Melayu dan Islam dengan menyentuh hal ehwal agama negara ini apabila terbaharu mempolemikkan pula mengenai tulisan Jawi.

- Advertisement -

Pada 30 Julai lalu, ADUN Tras daripada DAP, Chow Yu Hui bertindak memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuantan mencabar ketetapan Kerajaan Negeri Pahang yang mewajibkan tulisan Jawi di papan-papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu.

Chow mendakwa, Kerajaan Pahang dan Pihak Berkuasa Tempatan tidak harus memaksa orang ramai, terutama pemilik perniagaan, NGO atau mana-mana pihak untuk menyertakan tulisan Jawi di papan tanda mereka.

Pada tahun lalu, kerajaan negeri memutuskan semua papan tanda di jalan raya dan premis perniagaan perlu menyertakan tulisan Jawi dengan saiz yang sama dengan tulisan Rumi. Dasar itu telah berkuatkuasa sejak 1 Januari 2020 dan tindakan akan dikenakan kepada premis yang tidak patuh arahan.

“Tindakan memfailkan tuntutan di mahkamah mencerminkan itulah intipati sebenar perjuangan DAP. Sarat dengan persepsi negatif kepada perkara-perkara yang dia lihat boleh mendekatkan masyarakat kepada nilai-nilai Melayu dan Islam khasnya,” tujah Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

Beliau diwawancara mengenai isu tersebut seusai tamat merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Bentong di Lurah Bilut, Bentong, kelmarin.

Ujar beliau, hal tersebut sebenarnya merupakan sikap biasa DAP di mana dari satu sisi ia menyerlahkan untuk dapat melihat dan menilai oleh semua rakyat Malaysia bahawa begitulah wajah sebenar DAP.

Menurut Fadhli, di Kelantan telah berpuluh-puluh tahun lamanya kerajaan negeri mewajibkan tulisan Jawi pada papan tanda iklan dan premis perniagaan di mana tidak pernah menjadi isu pada masyarakat non-Muslim di sana mahupun pihak DAP.

Di Georgetown pada 28 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah menolak permohonan GERAKAN yang mahu pembelajaran tulisan Jawi tidak diajar di sekolah Cina dan Tamil di seluruh negara.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Amarjit Serjit Singh sebaliknya telah memutuskan bahawa tulisan Jawi adalah sebahagian daripada Bahasa Malaysia dan telah termaktub di dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Jadi, DAP mahu saman apa lagi?

“Mereka bukan nak menang sangat pun tetapi sengaja nak menunjuk-nunjuk di hadapan pengundi tegar mereka khususnya bangsa Cina bahawa mereka adalah parti ‘Cauvinis’,” ujar Fadhli yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia ‘mendedahkan’ motif itu.

Malah, mainan parti Roket itu dibandingkannya apabila pada hari sama Chow yang juga mantan ADUN Bilut itu memfailkan tuntutan di mahkamah, di sebelah petang lain pula kisahnya dilakukan ahli keluarga DAP.

“Remeh-temeh, kita patut utamakan perkara yang lebih mendesak,” begitu teguran Ketua Pemuda DAP, Howard Lee yang dicatat di dalam ciapannya menggunakan tulisan Jawi terhadap rakan separtinya itu.

“Ini satu lagi sikap hipokrit DAP. Ia satu bentuk ‘damage control’, seolah-olah sedang cuba mengawal dan memperbaiki kerosakkan yang timbul hasil kejahatan tangan mereka sendiri,” tempelak Ahmad Fadhli.

Menurutnya, jika benar DAP tidak setuju dengan tindakan ADUN Tras tersebut, tindakan displin perlu diambil seperti gantung atau dibicarakan di dalam proses dalaman parti atau setidak-tidaknya dibuang daripada parti.

Malangnya, sehingga ke hari ini tiada tindakan diambil ke atas ADUN tersebut seolah-olah perlakuan mencabar kerajaan negeri di mahkamah adalah sesuatu yang bersifat peribadi hingga mendapat restu pucuk pimpinan.

Bagi Ahli Parlimen termuda PAS ini, beliau melihat bahawa hubungan non-Muslim dan bangsa Melayu-Islam di Malaysia ini sebenarnya tiada sebarang masalah di mana PAS sendiri telah menubuhkan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).

Hakikatnya bagi Fadhli dan sudah pasti turut diakui majoriti rakyat Malaysia, DAP adalah parti bermasalah kerana suka mengungkit dan mencubit isu hubungan antara kaum dan hak-hak istimewa orang Melayu dan Islam, walhal semuanya telah jelas termaktub di dalam Perlembagaan.

Di hujung wawancara beliau sempat melontarkan satu kenyataan jujur dan tegas bahawa selagi adanys parti-parti politik seperti DAP ini, masyarakat tidak akan aman harmoni.

Sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, PAS Cawangan Bilut telah mengambil peluang atas keberadaan beliau melawat Muzium FELDA Lurah Bilut dan berziarah di beberapa buah rumah di sekitar FELDA tertua di Malaysia ini.

KHAULAH AL-AZWAR
Wartawan Rakyat
PAS Kawasan Bentong – HARAKAHDAILY 11/8/2020

- Advertisement -