Utama baik pulih landasan Gemas-Tumpat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan kini sedang memberi keutamaan terhadap kerja naik taraf membaik pulih kerosakan yang dialami oleh rangkaian keretapi bagi jajaran Gemas ke Tumpat.

Ini juga termasuk kerosakan akibat daripada bencana banjir yang berlaku pada penghujung tahun 2014 yang lalu.

- Advertisement -

Demikian kata Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Ir Dr Wee Ka Siong bagi pertanyaan Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) dalam persidangan Dewan Rakyat pagi ini, berhubung operasi semula pengangkutan perkhidmatan keretapi terus daripada Kelantan ke Kuala Lumpur.

Dalam pada itu katanya, kerajaan juga telah memperuntukkan dana berjumlah RM874.7 juta bagi membaik pulih infrastruktur landasan dan stokereta di sektor Pantai Timur.

Mengulas lanjut katanya, peruntukkan tersebut terdiri daripada dana berjumlah RM778.0 juta bagi projek membaik pulih infrastruktur landasan bagi sektor Gemas ke Tumpat.

Manakala, RM96.7 juta bagi pelaksanaan program pemulihan stesen dan lain-lain insfrastruktur keretapi yang terjejas akibat banjir besar yang melanda negeri Pantai Timur.

Bagaimanapun katanya, kerajaan bersedia menimbang pembukaan semula perkhidmatan keretapi ekspress daripada Kuala Lumpur ke Tumpat setelah projek naik taraf dan baik pulih selesai. – HARAKAHDAILY 11/8/2020

- Advertisement -