Si comel sihat dan pintar

- Advertisement -

SETIAP ibu bapa pasti gembira dengan kelahiran cahaya mata. Apatah lagi, jika saat tersebut telah dinantikan sekian lama. Ramai yang beranggapan, tanggungjawab besar sebagai ibu bapa bermula sejurus anak dilahirkan.

Namun begitu, bagi menjamin tumbesaran anak berkembang secara normal di kemudian hari, perhatian penuh perlu diberikan seawal usia kandungan.

Kekurangan nutrisi penting sewaktu pembentukan fetus di dalam rahim atau pada mana-mana tahap tumbesaran bayi sehingga berusia dua tahun, antara faktor utama menyumbang kepada masalah bantut (stunting).

- Advertisement -

Selain itu, masalah jangkitan yang kerap dan kekurangan rangsangan mental dan fizikal sewaktu tempoh dua tahun awal kehidupan juga turut meningkatkan risiko masalah ini. 

Cukup membimbangkan, menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, seorang dari setiap lima orang kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah bantut. 

Bantut merupakan masalah tumbesaran, di mana tahap ketinggian kanak-kanak berada di bawah paras normal. Ia berbeza dari masalah kerdil (dwarfism). 

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setiap bayi yang lahir, berkeupayaan untuk membesar pada kadar yang sama. Keadaan ini, tidak dipengaruhi oleh faktor genetik, status sosial ekonomi atau geografi. 

Masalah bantut perlu diberi perhatian serius. Ia bukan sekadar menyumbang kepada masalah kesihatan mental akibat rasa malu dan kurang keyakinan diri, malahan turut memberi kesan jangka masa panjang kepada produktiviti ekonomi sejagat. 

Proses tumbesaran bayi dan kanak-kanak tanpa nutrisi yang cukup, menjejaskan pembentukan sel-sel otak dan sel-sel pertahanan badan. Akibatnya, selain dari mempunyai daya saing yang rendah dan kemampuan intelek yang terbatas, kanak-kanak ini juga lebih mudah terdedah kepada pelbagai jenis penyakit kronik di kemudian hari. 

Tiada rawatan bagi masalah bantut. Kerana itu, kesedaran tinggi di kalangan anggota masyarakat sangat diperlukan bagi membendung masalah ini.

Mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak, tidak menjamin nutrisi yang cukup. Malahan, ia boleh mengundang masalah kesihatan yang lain. Oleh itu, ibu mengandung perlu mengamalkan diet yang seimbang untuk kebaikan diri dan bayi. 

Penjagaan kebersihan diri dan persekitaran, selain dari mengamalkan gaya hidup sihat juga penting bagi menjamin kesihatan yang baik.

Bayi yang mendapat khasiat susu ibu, sekurang-kurangnya pada usia enam bulan pertama, selain dibekalkan dengan antibodi bagi melindungi dari jangkitan, turut memperolehi hormon tumbesaran yang boleh mencegah masalah bantut. Seterusnya, interaksi sosial melalui permainan dan pembelajaran di awal usia juga turut membantu merangsangkan tumbesaran anak-anak.

Anak-anak merupakan anugerah Allah yang sangat berharga. Nikmat ini datang seiring dengan tanggungjawab yang besar. 

Seribu hari pertama kehidupan anak, bermula dari tempoh pembentukan fetus merupakan waktu kritikal yang memerlukan perhatian penuh ibu bapa. Menjadi kewajipan ibu bapa memberikan anak-anak hak mereka untuk membesar secara normal, bagi menjamin kesihatan mereka di kemudian hari dan keupayaan mereka untuk berbakti kepada agama, negara dan bangsa. 

DR. HANI’AH ABDULLAH
Anti-infective virologist
Alderley Park. – HARAKAHDAILY 10/8/2020

Rujukan utama;
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
Kementerian Kesihatan Malaysia

- Advertisement -