Perjuangan gagal tanpa amal jamaie sebenar

TAMBUN: Sifat perjuangan Islam adalah gerakan secara amal jamaie dengan setiap individu berintimak mempunyai peranan melaksanakan tanggungjawab yang dijayakan secara kolektif.

Advertisement

Perkara tersebut diperingatkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib semasa merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Tambun di Kampung Jasa Ulu Chemor, di sini semalam.

Katanya, sebuah perjuangan yang tersusun rapi itu adalah apabila strukturnya tersusun dan anggotanya memberi kepatuhan dan ketaatan sepenuhnya kepada golongan terpilih untuk memimpin mereka.

“Walau ada perkara peribadi yang kita tak berkenan dekat dia (pemimpin itu), kita (tetap) kena patuh. Kepatuhan itu penting. (Hatta) Dia muda, dia bukan keturunan macam kita. Kita patuh selagi tidak menyalahi tuntutan agama,” ujarnya.

Hal tersebut nyata beliau, lebih-lebih lagi dalam perkara penetapan pemilihan kerusi untuk ditandingi pada PRU15 nanti di mana mesti diserahkan sepenuhnya kepada pemimpin di peringkat Negeri dan Pusat.

“Tugas kita, buat kerja di peringkat kita baik-baik. Bukan fikir kerusi, ia patut difikirkan pimpinan atasan. Tugas kita banyak lagi, tubuhkan Cawangan. Sebab nak tegakkan Islam bukan esok lusa bolehnya. Bertahun lagi. Maka perlu perkukuh jentera akar umbi,” serunya.

Semua itu jelasnya, menunjukkan perjuangan adalah secara jamaie dan tidak dapat dilakukan individu, selain memerlukan dukungan ramai serta mencapai perhatian Allah. – HARAKAHDAILY 10/8/2020