PAS ejen kestabilan, pendamai politik negara

PADANG RENGAS: PAS perlu menjadi ejen pembimbing ke arah merealisaikan Islam sebagai asas kehidupan dan sistem negara serta penyelesaian terhadap masalah dihadapi dunia hari ini.

Advertisement

Suntikan semangat itu dipasakkan Yang DiPertua PAS Kawasan Padang Rengas, Mohamed Sukeri Mat Amin dalam ucaptama Mesyuarat Agung PAS Padang Rengas Kali Ke-36 di Musolla Al-Ehsan, di sini semalam.

Menurutnya, peranan PAS telah mewujudkan kestabilan politik di sebalik simpang siur dan konflik yang terjadi di mana membawa perubahan kepada landskap politik negara dengan cara paling mendamaikan.

Menurut Sukeri, kemampuan pimpinan PAS menggerakkan politik hingga dapat mewujudkan perpaduan dan penyatuan ummah ketika ini terhasil dari kefahaman tinggi siyasah dalam acuan Rabbani.

“(Untuk itu) PAS perlu bersedia untuk menjadi agen perubah yang ampuh berkesan dalam mengembalikan umat kepada kesedaran Islam. Untuk membetulkan kerajaan ke landasan yang betul menuju kejayaan dunia dan akhirat,” ujarnya.

Justeru itu, beliau mengarahkan supaya jentera parti diperkemas dari segenap sudut agar PAS dilihat berkesan dalam memberi khidmat kepada masyarakat.

“Untuk membetulkan orang lain kena betulkan diri sendiri. Untuk memperbetulkan kerajaan yang besar, kena perbetul dan perkemaskan parti yang menjadi sebahagian dari kerajaan,” ujarnya sambil menyentuh soal perubahan minda dan tindakan sebagai parti kerajaan.

Beliau menggariskan tiga arahan ke arah pengukuhan jentera parti bermula daripada penubuhan cawangan baharu hingga ke pengoperasian lajnah dan institusi penting di bawah PAS Kawasan seperti PASTI, SRITI dan Jabatan Amal.

Kedua kemukanya, mengemas kini sistem tarbiyah agar setiap ahli PAS amnya dan penjawat jawatan dalam kerajaan khasnya melalui proses tarbiyah yang digariskan dalam PAS.

Ketiga bentangnya, memperluas usaha dakwah kepada masyarakat bukan-Islam melalui agensi dan badan kerajaan menerusi penubuhan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) di peringkat Kawasan.

“Dengan kesempatan tak pernah termimpi dan terjangka yang Allah kurniakan ini, harapan kita mudah-mudahan orang Islam di negeri dan negara ini akan merasa penuh yakin untuk kembali kepada Islam sebagai jalan penyelesaian yang hakiki.

“Dan (semoga) orang bukan Islam (dapat) melihat dan menerima Islam sebagai rahmat kepada sekalian alam,” ujarnya di hadapan lebih 100 perwakilan.

Mesyuarat Agung Tahunan PAS Padang Rengas yang dijalankan secara ringkas tanpa kehadiran rakan-rakan politik PAS pada tahun ini telah meluluskan dua usul masing-masing menyentuh soal wakaf pendidikan dan pemansuhan sekolah vernakular di Malaysia. – HARAKAHDAILY 10/8/2020