PAS Bentong sedia menangi PRU15

BENTONG: Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kawasan Bentong Kali Ke-36 telah berlangsung penuh semangat yang diwarnai penampilan serba hijau dan dicabar untuk menang dan menghantar wakil Perikatan Nasional ke Parlimen dari PRU15 nanti.

Advertisement

Yang DiPertua, Timbalan dan Naib Yang DiPertua PAS Bentongi iaitu Khairuddin Abdullah, Ustaz Roslan Md Esa Samsuddin Abdullah mengetuai para perwakilan menyahut gesaan untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Malah disaksikan pula rakan Muafakat Nasional terdiri daripada Pengerusi MIC Pahang, V. Arumungum dan wakil Umno, Dato’ Amizer Abu Adam serta Naib Ketua MCA Bentong Poo Mun Hoong.

“Ada dua catatan sejarah. Belum pernah berlaku muktamar kawasan ‘di luar’, maksudnya diadakan bukan di dalam premis sendiri. Kedua, FELDA Lurah Bilut merupakan FELDA tertua di Malaysia.

“Manakala PAS Cawangan Bilut adalah antara PAS terawal ditubuhkan di dalam Kawasan Bentong,” ujar Setiausaha PAS Bentong, Ismail Bakar pada MAT yang julung-julung kalinya telah berlangsung di dalam Dewan Serbaguna JKKK FELDA Lurah Bilut.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari merangkap Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia menjadi perasmi MAT yang telah tertunda kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

Berbekal semangat juang orang muda dilengkapi nada suara seorang pemidato hebat, mantan Setiausaha Akhbar Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz ini telah membakar semangat perwakilan agar bersiapsiaga menghadapi PRU15.

“Siapa pun calon yang bakal diletak oleh kepimpinan Pusat sama ada daripada PAS atau Perikatan Nasional, kita akan sokong. Janji bukan Pakatan Harapan (PH), tolak mereka dalam PRU15.

“Kita kini berada di ambang PRU. Saya cabar perwakilan PAS Bentong agar dapat menghantar wakil ke Parlimen Malaysia, boleh ke tidak?” cabarnya berkobar-kobar disambut jawapan spontan “boleh!” dan laungan takbir oleh hampir 130 perwakilan dan pemerhati mewakili lebih 20 Cawangan PAS Bentong. – HARAKAHDAILY 10/8/2020