MAT PAS Kuantan meriah disebalik SOP ketat

KUANTAN: Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Kuantan Kali Ke-32 telah dapat disempurnakan walaupun dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Advertisement

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya dan turut dihadiri Ketua Muslimat PAS Pahang, Salamiah Mohd Nor selaku wakil Perhubungan PAS Pahang.

Ustaz Tarmizi yang juga ADUN Panching dalam ucapannya mengupas pengukuhan jemaah yang mesti didukung dengan pemantapan empat perkara iaitu akidah, fikrah, ukhuwah dan juga amal ijtimaie.

Terdahulu, Yang DiPertua PAS Kuantan, Ustaz Rosli Abdul Jabar mengupas situasi dialami PAS walaupun dengan jumlah kerusi yang kecil, namun atas istiqamah dengan perjuangan Islam, telah dianugerahkan Allah berkongsi pemerintahan.

Majlis juga diserikan dengan tayangan video imbasan aktiviti sepanjang tahun 2019 serta penyampaian Anugerah Tokoh Fastaqim kepada Sulong Jaafar dan Halimah Lebai Sulaiman.

Dalam ucapan penangguhan wakil Dewan-dewan serta PAS Cawangan, banyak disentuh berkenaan kepekaan terhadap arahan pimpinan tertinggi agar tiada kekeliruan dan kesilapan melaksanakan strategi.

Selain itu, semua setuju untuk setiap yang dipertanggungjawabkan jawatan agar mewajibkan diri hadir ke mesyuarat ditetapkan supaya tidak terlepas info berkaitan perjalanan, pengurusan kewangan dan aktiviti parti. – HARAKAHDAILY 10/8/2020