Laksana empat perkara bila dapat kuasa

IPOH: Allah S.W.T menggariskan empat perkara harus dilaksana apabila menerajui kekuasaan iaitu mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan makruf dan mencegah mungkar.

Advertisement

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, perbahasan para ulamak mengaitkan perintah solat kepada kepentingan berhubung dengan Allah S.W.T.

Manakala zakat pula katanya, ditafsirkan oleh para ulamak dengan memelihara hubungan sesama manusia menerusi agenda kebajikan, termasuk menguasai dan memakmurkan ekonomi negara.

“Yang ketiga, bila dapat kuasa, buat makruf. Tidak kira siapa kita, Ahli Jawatankuasa Sementara Kampung (JSPK) ke, Ahli Majlis ke. Bahkan tiada siapa boleh larang kita (kerana kuasa itu).

“(Sebaliknya) Nanti Allah akan tanya kita, di mana dia serukan kepada makruf setelah mendapat kuasa?” peringatnya semasa berucap pada perasmian Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Tambun Kali Ke-34 di Kampung Jasa Hulu Chemor, Tambun, semalam.

Ucapan peringatan sama turut dipertegaskannya semasa merasmi MAT PAS Kawasan Pasir Salak Kali Ke-56 di Chenderong Balai, Pasir Salak, kelmarin.

Menurutnya, antara usaha menyeru kepada makruf yang boleh dilaksanakan oleh ahli-ahli PAS adalah mengajak masyarakat mengimarahkan majlis ilmu sesuai PAS sebagai parti dakwah dan tarbiyah.

Lebih dari itu, beliau yang juga Pegawai Khas Presiden PAS mengingatkan bahawa peranan pemimpin setempatlah lebih utama menganjurkan majlis ilmu di mana dapat memahamkan masyarakat mengenai siyasah.

Manakala keempat tegasnya, adalah mencegah kemungkaran di mana kuasa mesti digunakan untuk menghalang dari segala perlakuan dosa, maksiat dan keburukan yang dilarang agama.

“Politik merupakan suatu alat untuk kita mencapai matlamat redha Allah dan platform kita membasmi segala bentuk mungkar. Mungkin tidak semua dapat dicapai, tetapi kena berusaha,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/8/2020