Keluarga terhumban ke air dapat perhatian PAS

PUTATAN: PAS Kawasan Putatan telah mengadakan ziarah kepada keluarga Asma Gari yang bahagian dapur kediaman mereka tiba-tiba runtuh dan menyebabkan kecederaan di Kampung Merutum Fasa 1, di sini semalam.

Advertisement

Kunjungan diketuai Yang DiPertua PAS Putatan, Ustaz Akmal Othman dan disertai sama oleh Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Putatan, Wawa Athiyah Aziz bersama Skuad Prihatin.

Lawatan tersebut sebagai menzahirkan simpati dan menyerahkan sumbangan bantuan wang tunai yang diharap dapat meringankan beban keluarga itu, selain menaksir kerosakan untuk bantuan susulan.

Dalam kejadian pagi kelmarin, Asmah dan anak-anaknya terhumban ke dalam air setelah bahagian dapur rumah di perkampungan atas air itu runtuh menyebabkan mereka mengalami luka ringan.

Manakala seorang daripada anaknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) turut mengalami lecur ringan di kaki apabila air panas sedang dimasak telah tertumpah ke kakinya pada kejadian itu.

Ustaz Akmal turut menitipkan kata-kata semangat buat keluarga itu dan menyatakan komitmen terhadap agenda kebajikan dan dakwah di kawasan tersebut. – HARAKAHDAILY 10/8/2020