TAMBUN: Kekuatan PAS telah diperteguhkan oleh peranan struktur akar umbi pelbagai lapisan penggerak dari Cawangan, Kawasan dan Dewan-dewan yang melaksanakan tindakan menyeluruh berasas panduan dan perancangan parti.
Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Md Salleh Said menyatakan, semua penggerak itu telah menghimpunkan kesepaduan yang menjadi keistimewaan dimiliki PAS berbanding parti politik lain.
“Tambun merupakan kawasan (yang) paling ramai ulamak, ada Dewan Ulamak. Peranan ulamak ini sangat besar sehingga diangkat Allah di dalam Al Quran. Di dalam Kawasan Tambun (ini), merekalah (ulamak) generator yang menggerakkan (program) tarbiyah.
“Selain itu adanya Pemuda. Mereka ini merupakan pelapis, kilang melahirkan kepimpinan. Sebab itu Pemuda ni kita bagi banyak tanggungjawab. menguruskan PASTI, SRITI, SMITI dan sebagainya. Ia merupakan latihan sebelum mereka terjun ke medan perjuangan yang lebih luas,” ulas beliau.
Bukan itu sahaja, malah beliau turut menegaskan agar Pemuda memainkan peranan masing-masing dalam memastikan seluruh anak muda dalam kalangan masyarakat tidak terbiar, sebaliknya harus didekati dengan pendekatan yang sejiwa dengan usia mereka.
“Cari program-program yang sesuai dengan jiwa muda, tetapi masih mempunyai roh Islam di dalamnya. Bawa mereka dengan jiwa muda. Gunakan segmen-segmen yang ada dalam pemuda seperti Jabatan Amal, DACS dan lain-lain lagi,” seru Ustaz Salleh.
Dalam pada itu, beliau juga menyentuh mengenai peranan Muslimat PAS selaku sayap kiri perjuangan PAS yang tidak dapat dinafikan lagi sumbangannya khusus dalam menjayakan program berbentuk kemasyarakatan.
Pesan beliau, Muslimat PAS sewajarnya tampil ke lapangan masyarakat dengan pendekatan yang sedia ada secara lebih giat melalui program-program kerohanian antaranya munajat AKIFI, bacaan Yassin, doa selamat dan lain-lain lagi.
“Pelbagaikan aktiviti untuk dekati wanita-wanita di luar (sana), khususnya Melayu Islam yang ketandusan bimbingan. Kalau wanita-wanita tua suka baca Yassin dan doa selamat, selamatkan mereka dengan Yassin dan doa selamat (itu),’’ cadangnya. – HARAKAHDAILY 10/8/2020