Dewan Ulamak santuni keluarga mangsa kemalangan

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah telah menyerahkan sumbangan kepada keluarga-keluarga mangsa tragedi kemalangan berhampiran jambatan Merotai Besar dalam satu kunjungan, semalam.

- Advertisement -

Sumbangan wang tunai sebanyak RM6,000 itu telah disampaikan melalui Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Ulamak PAS Sabah yang diwakili Ustaz Roslan Ramli pada pertemuan Kampung Bakau, Pasir Putih, Tawau, di sini.

Hadir sama semasa serahan itu adalah Ketua Penerangan PAS Sabah, Ahmad Dullah dan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Penggerak dan Dakwah Islam Sabah (Sabah Relief), Ustaz Mohd Tarmizi Yahya.

Rombongan telah merakam takziah buat keluarga mangsa dan menitipkan nasihat untuk bersabar menerima ujian ketentuan Allah S.W.T atas tragedi yang menimpa itu.

Dalam kejadian sekitar jam 6 pagi 5 Ogos lalu, semua mangsa yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Umas dikatakan terbabas dan kenderaan mereka terhumban ke bawah jambatan Merotai Besar.

Tragedi yang berlaku dalam cuaca hujan itu menyebabkan Dayana Damsah, 27 meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Nurizyani Kafli, 24 meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Besar Tawau.

Dua lagi mangsa iaitu Hasnaini Paiori dan Nur Zairah Aladin pula mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di hospital sama. – HARAKAHDAILY 10/8/2020

- Advertisement -