Antara Ketuanan Melayu dan White Supremacy

- Advertisement -

DI DEWAN Rakyat baru-baru ini semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Di Raja, Presiden PAN yang juga wakil Kota Raja, Muhammad Sabu telah berhujah menyatakan (sebagaimana direkodkan dalam Penyata Rasmi Dewan atau Hansard):

“Inilah juga bahaya kalau kita pergi kepada Ketuanan Melayu. Kita kena utarakan Melayu yang berwibawa, Melayu yang bertakwa, Melayu yang berintegriti, bukan Ketuanan Melayu. Kalau kita pergi ke Ketuanan Melayu, ia sama dengan White Supremacy.”

Beliau bertindak menyamakan perjuangan ‘Ketuanan Melayu’ dalam negara kita dengan perjuangan ekstremis dan rasis ’White Supremacy’ yang popular di kalangan segelintir warga Amerika Syarikat yang berkulit putih.

- Advertisement -

Kenyataan tidak bertanggungjawab pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu telah mendorong wakil PAS dari Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia untuk bangkit membuat penjelasan dengan berkata:

“Saya kira istilah yang digunakan oleh Yang Berhormat Kota Raja White Supremacy dan Ketuanan Melayu itu satu benda yang agak berbeza. Apa yang disebut sebagai Ketuanan Melayu hanyalah menyatakan hak-hak orang Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan, tak lebih daripada itu Yang Berhormat Kota Raja. Terima kasih.”

Tidak lama selepas itu seorang lagi pemimpin PAN iaitu Khalid Samad wakil Shah Alam telah bangkit menyatakan:

White Supremacy dan Ketuanan Melayu adalah sama, kerana bila ada tuan ada hamba abdi (dan) negara kita tiada hamba abdi.”

Pasti kenyataan dan tuduhan jahat serta tidak bertanggungjawab ini membangkitkan kemarahan umat Melayu Islam yang merupakan majoriti penduduk dalam negara. Menyamakan perjuangan ‘Ketuanan Melayu’ zaman-berzaman dengan perjuangan ‘White Supremacy’ yang fanatik dan taksub sehingga mahu meletakkan keturunan kulit hitam sebagai warga kelas kedua, sebagaimana diperlakukan regim ‘apartheid’ Afrika Selatan satu ketika dahulu, adalah sangat keterlaluan malah menghina umat Melayu Islam dalam negara.

Dalam sejarah peradaban Melayu, tidak pernah kaum lain khususnya India dan Cina dijadikan hamba abdi sebagaimana yang berlaku di Amerika Syarikat di zaman awalnya. Dan tidak seperti di Amerika, sejurus Merdeka, kaum pendatang (ketika itu) yakni Cina dan India telah diberi hak kewarganegaraan, mereka bebas mencari rezeki, mendapat pendidikan, bantuan kerajaan, malah berkerja di jabatan kerajaan dan memiliki tanah, ladang dan bangunan sehingga ke hari ini.

Warga kulit hitam di Amerika cuma bebas mengundi beberapa dekad selepas kemerdekaan negara mereka, sedangkan di negara kita, warganegara semua keturunan bebas mengundi semasa pilihan raya dan malah bebas menjadi calon dan memegang jawatan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negeri serta Menteri Kabinet.

Jadi bagaimanakah perjuangan ‘Ketuanan Melayu’ boleh disamakan dengan ‘White Supremacy’ sehingga kononnya boleh mencetuskan ketegangan dan kekacauan. ‘Ku Klux Klan’ adalah satu contoh perjuangan ‘White Supremacy’ di Amerika Syarikat yang menjadi militan sehingga membunuh dan mencederakan warga kulit hitam Amerika Syarikat, pernahkan kita mendengar orang-orang Melayu bertindak sebagaimana mereka di sini?

Apakah itu sebenarnya perjuangan ‘Ketuanan Melayu’? Kata wakil PAS Pasir Mas, ianya tidak lebih dari perjuangan menyatakan hak-hak orang Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Yang paling pokok sebenarnya adalah jaminan Perlembagaan Persekutuan terhadap kedudukan Yang Dipertuan Agong dan Raja-raja Melayu. Institusi warisan adat dan budaya Melayu ini merupakan tonggak perjuangan Ketuanan Melayu dan ia diperjuangkan agar terus kekal.

Selain itu tidak kurang penting adalah kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan (orang Melayu menurut Perlembagaan Persekutuan adalah penganut Islam) dan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, jangan sekali-kali terganggu gugat.

Beberapa keistimewaan lain buat orang Melayu dan Bumiputera turut mahu dipertahankan, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan contohnya menggariskan berkenaan perizaban kuota jawatan di jabatan awam, selain kuota dana siswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan. Juga kuota permit atau lesen tertentu yang dikehendaki oleh Undang-undang Persekutuan bagi mengendalikan sebarang perniagaan untuk orang-orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

Demikian juga Perlembagaan Persekutuan turut menggariskan berkenaan tanah rizab orang Melayu serta kemasukan sebagai anggota Rejimen Askar Melayu Di Raja.

Dari sejak kemerdekaan negara, hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan inilah yang mahu terus dipertahankan umat Melayu Bumiputera lalu perjuangan membelanya dikenali perjuangan ‘Ketuanan Melayu’, di manakah persamaannya dengan ‘White Supremacy’?

Sebenarnya yang membimbangkan orang-orang Melayu adalah apabila ada cita-cita perjuangan politik pihak tertentu yang mahu merobah ‘status quo’ di atas. Perjuangan mereka menidakkan kontrak sosial yang terbina ketika negara mencapai kemerdekaan dahulu, lalu mereka melaungkan hak sama-rata buat semua sehingga orang-orang Melayu berasa tertekan dan terancam.

Konsep ‘Malaysia Malaysia’ yang diperjuangkan DAP merupakan satu contoh perjuangan sedemikian. Dan ancaman sebeginilah yang membangkitkan semangat orang Melayu untuk menyemarakkan perjuangan ‘Ketuanan Melayu’ itu bukannya untuk mencetuskan tuntutan baru tetapi memperingatkan dari hal apa yang telah sedia terkandung dalam undang-undang tertinggi negara. Merobahnya bermakna mencabar kedudukan orang-orang Melayu dan maruah Negara.

Tidak hairan sesungguhnya apabila pimpinan PAN mahu memperkecilkan perjuangan Ketuanan Melayu ini apatah lagi mengecapnya sebagai ekstrem dan melampau lantaran mereka dan DAP itu pada adatnya berpisah tiada. Survival politik PAN banyak bergantung pada kekuatan politik DAP, lalu jika menyerang dan memperkecilkan perjuangan Ketuanan Melayu dengan menyamakannya dengan ‘White Supremacy’ memberi kekuatan kepada ‘Tuan’ mereka maka mereka tanpa segan silu akan sanggup melakukannya.

Tiada sebab orang Melayu Bumiputera harus segan dan malu mahu mempertahankan hak mereka yang dijamin undang-undang. Kita bukannya memusuhi kaum lain, tetapi perjuangan ini sekadar mengingat semua bahawa konsep keluhuran Perlembagaan sebagaimana termaktub dalam Rukun Negara wajar dihormati semua.

Sejujurnya perjuangan Ketuanan Melayu bukannya suatu ancaman, tetapi yang sebenarnya menggugat keamanan adalah mereka yang bersekongkol tanpa maruah mahu mengadu-domba dan menjadi tali barut pihak tertentu demi kerana lapar dan mabukkan kuasa dan kedudukan.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 10/8/2020

- Advertisement -