Tauliah 104 jurusuntik permanian beradas

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) mentauliahkan 104 jurusuntik menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi khidmat permanian beradas lembu pedaging di seluruh Malaysia.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata usaha permanian beradas dijalankan bagi menambah jumlah lembu pedaging kacukan.

“Daripada jumlah 104 jurusuntik, seramai 65 jurusuntik mahir sudah ada di Kelantan telah ditauliah untuk menjalankan perkhidmatan permanian ke atas 19,000 induk (lembu).

- Advertisement -

Peningkatan permintaan permanian beradas setiap tahun daripada penternak lembu pedaging di Kelantan dijangka akan  menambah populasi ternakan kacukan berkualiti itu sehingga 30,000 lembu pada 10 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke projek penternakan ruminan yang diusahakan Azhar Che Abdullah, 49, di Selinak Farm, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
 
Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata pembiakan secara permanian beradas dilakukan dengan menyuntik benih lembu baka terpilih seperti Charolais, Limousin, Belgium Blue dan Bali yang dilakukan ke atas ternakan oleh jurusuntik yang dilantik di seluruh Malaysia.

“Ini adalah satu peluang yang cukup baik kepada penternak di negeri ini kerana mereka boleh mendapatkan kursus dan kepakaran yang ada dengan bantuan daripada JPV.

“Permintaan permanian beradas yang tinggi setiap tahun daripada penternak menunjukkan Kelantan mempunyai potensi yang tinggi untuk mengembangkan bidang penternakan ini kerana ia mampu menghasilkan ternakan yang berkualiti tinggi,” katanya.

Katanya di negeri ini terdapat 283 ladang yang menternak lembu, kerbau, kambing dan biri-biri yang menjalankan sistem penternakan integrasi, yang sebelum ini diusahakan di ladang kelapa sawit, tetapi kini di ladang kelapa.

“Sistem penternakan seperti ini mengoptimumkan penggunaan tanah untuk teduhan, ragutan dan sumber rumput napier sebagai makanan ternakan, selain menjimatkan kos merumpai dan membaja, menyuburkan tanaman ladang, membantu meningkatkan pengeluaran daging ternakan, sekali gus menambah pendapatan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -