Pertahan kerajaan PN, kukuh MN

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA:  Semua anggota parti peringkat akar umbi diminta memperkukuhkan kedudukan masing-masing sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata usaha itu perlu dibuat untuk mengekalkan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) demi kepentingan Islam dan rakyat pelbagai bangsa.

Katanya, bukan hanya kerajaan PN perlu dijaga, sebaliknya hubungan antara parti dalam Muafakat Nasional (MN) juga perlu dipertahankan.

Beliau berkata demikian ketika  merasmikan Mesyuarat Agung PAS  Pengkalan Chepa kali ke-48 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), dekat sini, semalam.

Turut hadir pada ahli Parlimen  Pengkalan Chepa yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Ahmad Marzuk Shaary.

Jangkaan paling awal PRU-15 menurut pandangan peribadi Mohd Amar kemungkinan September ini.

“Tetapi mungkin juga pada November hadapan selepas pembentangan bajet 2021, Parlimen ada kemugkinan dibubarkan.

“Tarikh ketiga pada padangan saya paling lewat ialah tahun hadapan iaitu bulan sekitar Jun atau Julai,” ujarnya.

Tambahnya, biar pun tarikh PRU-15 belum ditentukan jentera pilihanraya semua peringkat perlu digerakkan bermula sekarang di peringkat  kawasan selepas Muktamar PAS diadakan.

Katanya, sekiranya PRU-15 diadakan tahun hadapan, sekurang-kurangnya pergerakan perjuangan sudah melebihi 50 peratus.

Tambahnya kerajaan PN perlu dipertahankan kerana ianya menjadi harapan semua rakyat di negara ini.

Jelasnya, jangan ulangi kesilapan lalu apabila tampuk pemerintahan negara diserahkan kepada mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Kita dan rakyat Malaysia begitu bimbang apabila negara dikuasai oleh mereka yang bukan dalam kalangan penduduk asal iaitu orang Melayu dan Islam.

“Negara mesti ditadbir oleh umat Islam dan Melayu selaku penduduk asal negara ini dengan tidak mengabaikan golongan minoriti pelbagai kaum dan agama di negara ini,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 9/8/2020

- Advertisement -