Menang berkuasa bukan mesti dari pilihan raya

Kerja pilihan raya hanya perancangan manusia, tetapi menang berkuasa perancangan Allah

PASIR SALAK: Memegang kuasa pemerintahan yang menjadi kemuncak perancangan manusia pada penyertaan dalam sistem demokrasi pilihan raya, hakikatnya merupakan anugerah Allah S.W.T apabila ia diperolehi tanpa melalui proses tersebut.

Advertisement

Sekali gus, Dia menunjukkan betapa perjuangan didukung makhluk hanya akan mencapai kemenangan yang dihasratkan apabila mendapat izin daripada Allah S.W.T, demikian dinyatakan Yang DiPertua PAS Kawasan Pasir Salak, Ustaz Mustafa Shaari.

Peringatan tersebut diungkapkannya sebagai renungan ketika berucap pada Majlis Mesyuarat Agung PAS Pasir Salak Kali Ke-56 di Markas PAS Pasir Salakm Chenderong Balai, di sini semalam.

Pun begitu kupasnya, kemenangan di dunia sebagaimana teladan telah ditunjuk para Nabi dan Rasul itu ada dua jenis yakni mutlak dan berkongsi yang diimbasnya dari ibrah Nabi Daud A.S, Nabi Sulaiman A.S, Nabi Muhammad S.A.W dan Nabi Yusuf A.S.

“Kita ketahui bahawa Nabi Daud, Nabi Sulaiman dan juga Nabi Muhammad adalah pemerintah negara dengan membawa Islam ke mercu kemenangan dan itulah kemenangan mutlak di mana Islam memegang tampuk pemerintahan seluruhnya.

“Manakala kemenangan berkongsi dapat kita kaji terhadap sejarah Nabi Yusuf yang mana baginda berada dalam tampuk pemerintah Mesir yang ketika itu bukan beragama Islam tetapi baginda boleh mengukuhkan dakwah serta melaksanakan hukum Allah,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak mengingatkan bahawa kuasa miliki bukanlah untuk dibanggakan tetapi melaksanakan amanah dengan sebaiknya di mana Nabi S.A.W mengibaratkan umat ini umpama lilin.

Beliau menyeru dengan kuasa dan kedudukan yang dimiliki hari ini digunakan untuk mengukuhkan dakwah dan meneruskan perjuangan menegakkan agama Islam, agar segalanya dilakukan untuk Islam dilihat dan dinilai oleh Allah. – HARAKAHDAILY 9/8/2020