PAS, JSPK salur bantuan awal mangsa kebakaran

- Advertisement -

BUKIT GANTANG: PAS Kawasan Bukit Gantang bersama Jawatankuasa Sementara Pengurusan Kampung (JSPK) Jelutong menghulurkan bantuan awal kepada mangsa kebakaran rumah di Kampung Pecah Batu, Jelutong, Changkat Jering, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Menurut Yang Dipertua PAS Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman, pihaknya menerima makluman daripada JSPK seawal waktu kejadian dan terus bergegas ke lokasi, namun semua penghuni rumah itu dapat menyelamatkan diri dan tiada sebarang kecederaan dialami.

“Rumah terbabit musnah 100 peratus dan yang lebih menyedihkan, mangsa, Zainal Toriq tiada sebarang pekerjaan kerana jatuh sakit sejak beberapa bulan yang lalu. Beliau yang mempunyai 11 orang tanggungan bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pihak PAS Kawasan menghulurkan sedikit sumbangan dan kita akan berusaha membantu mangsa sekeluarga melalui saluran yang ada,” ujar eliau yang juga Ahli Majlis Perbandaran Taiping (MPT).

Dimaklumkan bahawa rumah yang terbakar kira-kira jam 3:30 petang itu adalah rumah mangsa sendiri di mana telah dibina melalui bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Sementara itu, Ahli JSPK Jelutong, Mohamad Nawawi Ismail berkata, pihaknya telah melancarkan kutipan derma kilat bagi membantu keluarga malang itu.

Kepada yang ingin memberikan sumbangan, bolehlah menyalurkannya melalui akaun Maybank bernombor 1141 6072 3671. Selepas itu, sila hantarkan salinan resit/pengesahan bank secara whatsapp di talian www.wasap.my/60193256008/bantuankebakaranzainaltoriq.

“Kami berharap dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggungnya sambil berusaha untuk mencari kediaman sementara kepada keluarga mangsa,” katanya.

Turut hadir ke tempat kejadian adalah ADUN Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud dan Penghulu Mukim Bukit Gantang, Mustafa Kamal Zahari. – HARAKAHDAILY 8/8/2020

- Advertisement -