Kesilapan fakta identiti negara satu pengkhianatan

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) menzahirkan kebimbangan atas kejadian yang berulang kali terjadi terhadap identiti atau lambang negara kita, Malaysia.

Advertisement

Antara identiti negara kita adalah Jata Negara, Rukun Negara, Jalur Gemilang dan Lagu Kebangsaan. Perkara ini perlu dipelihara keutuhan, prinsip dan matlamatnya oleh seluruh rakyat Malaysia.

Kesalahan dalam memahami falsafah serta sejarah identiti Malaysia boleh menjadikan kita hilang rasa kasih dan sayang kepada negara. Islam juga memandang penting soal memelihara negara daripada dimasuki ideologi menyimpang dan perbuatan-perbuatan yang boleh mencemarkannya.

Isu bendera terbalik, bendera bintang bucu lima, penghinaan Jata Negara dan Lagu Kebangsaan menjadi salah laku yang tidak boleh dikompromi kerana melanggar akta-akta perundangan dan boleh dijatuhkan hukuman jika bersalah.

Seharusnya, perkara seperti ini diberikan perhatian daripada terus berulang. Rakyat mestilah cermat dan waspada bilamana berurusan dengan identiti serta apa juga perkara yang menyentuh sensitiviti masyarakat dan kedaulatan negara.

PAS mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya memelihara sensitiviti agama, kaum termasuklah identiti negara dalam memastikan kestabilan dan kesejahteraan masyarakat majmuk di Malaysia. Diharapkan bulan kemerdekaan ini dapat menjadi pemangkin yang membugarkan semangat patriotik dalam jiwa kita semua.

“Islam Memimpin Perpaduan”

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
7 Ogos 2020 | 17 Zulhijjah 1441 – HARAKAHDAILY 7/8/2020

—–
کڽاتاءن ميديا
ڤرتي إسلام س-ماليسيا (PAS)

کسيلڤن فکتا ايدينتيتي نݢارا ساتو ڤڠخيانتن

ڤرتي إسلام س-ماليسيا (PAS) منظاهيرکن کبيمبڠن اتس کجادين يڠ براولڠ کالي ترجادي ترهادڤ ايدينتيتي اتاو لامبڠ نݢارا کيت، مليسيا۔

انتارا ايدينتيتي نݢارا کيت اداله جات نݢارا، روکون نݢارا، جالور ݢميلڠ دان لاݢو کبڠساءن۔ ڤرکارا اين ڤرلو دڤليهارا کأوتوهن، ڤرينسيڤ دان متلامتڽ اوليه سلوروه رعية مليسيا۔

کسالهن دالم ممهمي فلسفه سرتا سجاره ايدينتيتي مليسيا بوليه منجاديکن کيت هيلڠ راس کاسيه دان سايڠ کڤد نݢارا۔ إسلام جوݢ ممندڠ ڤنتيڠ سوءال ممليهارا نݢارا درڤد دماسوقي ايديولوݢي مڽيمڤڠ دان ڤربواتن-ڤربواتن يڠ بوليه منچمركنڽ۔

ايسو بنديرا ترباليق، بنديرا بينتڠ بوچو ليما، ڤڠهيناءن جات نݢارا دان لاݢو کبڠساءن منجادي ساله لاکو يڠ تيدق بوليه ديكومڤرومي کران ملڠݢر اكتا-اكتا ڤراوندڠن دان بوليه دجاتوهکن حکومن جک برساله۔

سهاروسڽ، ڤرکارا سڤرتي اين دبريکن ڤرهاتين درڤد تروس براولڠ۔ رعية مستيله چرمت دان وسڤادا بيلامانا براوروسن دڠن ايدينتيتي سرتا اڤ جوݢ ڤرکارا يڠ مڽنتوه سينسيتيۏيتي مشارکت دان کداولتن نݢارا۔

PAS مڠاجق سلوروه رعية مليسيا سوڤايا ممليهارا سينسيتيۏيتي اݢام، قوم ترماسوكله ايدينتيتي نݢارا دالم ممستيکن کستابيلن دان کسجهتراءن مشارکت مجموع د مليسيا۔ دهارڤکن بولن کمرديکاءن اين داڤت منجادي ڤمڠكن يڠ ممبوڬركن سماڠت ڤاتريوتيک دالم جيوا کيت سموا۔

‘إسلام مميمڤين ڤرڤادوان’

قمر الزمان بن محمد
کتوا ڤنرڠن
ڤرتي إسلام س-ماليسيا (PAS)
٧ اوݢوس ٢٠٢٠ | ١٧ ذوالحجه ١٤٤١