Warga Malim Nawar ‘mangsa’ isu ternakan babi

- Advertisement -

IPOH: PAS Kawasan Kampar mahu Kerajaan Negeri Perak untuk mencari penyelesaian terhadap masalah sekian lama menimbulkan ketidakselesaan penduduk berkaitan isu penternakan babi di Malim Nawar, Kampar.

- Advertisement -

Sehubungan itu, satu bantahan telah disampaikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan Negeri Perak, Dato’ Abdul Yunus Jamahri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, di sini kelmarin.

Serahan bantahan itu telah disampaikan Setiausaha PAS Kampar, Ustaz Khairul Alimi Kamarul Hailan diiringi Ahli Jawatankuasa Bertindak Bantahan Penternakan Babi Di Perumahan Penduduk Malim Nawar, Abdul Manaf Ismail dan Shaharun Johari.

PAS Kampar menubuhkan jawatankuasa tersebut untuk memobilisasi isu ini agar dapat didepani secara sistematik dan berkesan di mana dimaklumkan bahawa masyarakat setempat terpaksa menghadapi pencemaran bau sangat busuk setiap pagi.

Sedangkan rata-rata ‘mangsa’ masalah ini adalah kaum Melayu-Islam yang menerima kesan sejak beberapa tahun yang lalu terutama apabila waktu hujan, selain laluan keluar masuk lori-lori dari kandang babi tersebut juga akan melalui kawasan perumahan penduduk.

Bahkan ada keluhan penduduk bahawa pencemaran ini menyebabkan bau busuk pada baju yang dijemur di ampaian, sekali gus menimbulkan keselesaan, terganggu dan keresahan di mana penduduk banyak meluahkan di media sosial merayu perhatian pihak berwajib.

“Terdapat siri aduan dan tindakan yang telah dilakukan oleh Jawatankuasa Bertindak antaranya membuat aduan melalui e-Aduan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan juga memanjangkan aduan kepada pihak Majlis Daerah Kampar dan Pejabat Daerah dan Tanah Kampar.

“Juga mendapatkan lebih daripada 1,000 tandatangan bantahan melalui atas talian. Antara lokaliti sekitar Malim Nawar yang terkesan dengan pencemaran bau daripada kandang babi ini adalah Taman Tualang Sekah, Kampung Seri Malim, Taman Bina Jaya, Kampung Changkat Baru, Pasar Awam Malim Nawar dan gerai makanan yang berhampiran.

“Antara cadangan tindakan kami kepada kerajaan negeri adalah menutup kandang-kandang babi yang memberi masalah pencemaran kepada penduduk dan menggesa siri lawatan oleh agensi kerajaan diadakan bagi memantau pengusaha mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan bertindak tegas kepada pengusaha yang tidak mematuhi syarat-syarat ternakan.

“Pihak jawatankuasa memohon jasa baik YB Datuk Abdul Yunus Jamahri untuk membantu kami menghilangkan keresahan penduduk terutamanya yang acapkali mempertikaikan kemampuan Kerajaan Perikatan Nasional untuk menyelesaikan isu ini,” ujar Khairul Alimi. – HARAKAHDAILY 6/8/2020

- Advertisement -