Skim Tabarru’ bantu golongan memerlukan

- Advertisement -

PARIT: Kerajaan Negeri Perak telah memperuntukkan bantuan khairat kematian atau kemalangan kepada waris bagi rakyat negeri ini melalui Bajet Kesejahteraan Rakyat iaitu Program Perlindungan Takaful Tabarru’ Negeri Perak.

- Advertisement -

Program yang telah dilancarkan sejak 1 Ogos 2010 itu kini dipertanggungjawabkan di bawah Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan.

Program ini merupakan bantuan tunai yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Perak kepada semua rakyat khususnya kepada waris yang terlibat dalam kematian atau kemalangan. 

Antara golongan yang layak menikmati faedah ini adalah penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Orang Kelainan Upaya yang berdaftar dengan JKM dan penerima bantuan bulanan BaitulMal.

Juga kepada Ketua Isi Rumah (KIR) berdaftar dengan e-Kasih Miskin Tegar, KIR Orang Asli, Warga Tua Miskin Tegar berumur 60 hingga 75 tahun yang tinggal sendiri, Imam, Paderi, Sami India dan Sami Buddha serta penerima bantuan PERKESO.

Mengulas mengenai program bantuan tersebut, Yang DiPertua PAS Kawasan Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, inisiatif ini adalah sangat baik untuk dimanfaatkan oleh rakyat Negeri Perak dan Parlimen Parit khususnya.

“Peruntukan bantuan khairat kematian ini telah diluluskan sejak 2013, dan seramai lebih 10,000 orang rakyat negeri Perak telah menerima bantuan daripada program ini, terdiri dari pelbagai latar belakang kaum dan agama.

“Kita baru sahaja menyampaikan bantuan kepada lebih 30 penerima di sekitar Mukim Bota, dan kita berharap dapat membantu lebih ramai lagi rakyat negeri Perak umumnya melalui program yang sangat baik ini,” maklum beliau lagi.

Permohonan untuk program ini boleh dibuat melalui Pusat Khidmat Masyarakat PAS Kawasan Parit di talian 05-3762188 atau hadir dan mengisi borang serta mengemukakan maklumat-maklumat asas yang diperlukan. – HARAKAHDAILY 6/8/2020

- Advertisement -