PRN Sabah: PAS Pusat tunggu laporan negeri

KOTA BHARU: PAS Pusat akan menunggu laporan penuh daripada PAS Sabah bagi menggerakkan sebarang jentera bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Sabah akan datang, kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Advertisement

Beliau berkata laporan itu dijadual dibentangkan oleh PAS Sabah pada pertengahan bulan ini bagi PAS membuat sebarang keputusan berkaitan PRN itu.

“Keputusan muktamad mesti diputuskan di peringkat pusat. Saya percaya PAS akan bertanding,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kelantan Ku Bersih di Pasar Pagi Pengkalan Datu di sini, hari ini.

Mohd Amar berkata selepas PAS di peringkat pusat membuat keputusan untuk bertanding barulah ia akan diselaraskan bersama rakan-rakan parti lain dalam Muafakat Nasional.  

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Sabah Mohd Aminuddin Aling memberitahu PAS Sabah telah mengenal pasti kerusi yang berpotensi untuk ditandingi parti itu dan akan berunding dengan parti rakan sekutu dalam Barisan Nasional (BN).
 
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan pada Khamis lalu bagi memberi laluan kepada PRN yang perlu diadakan sebelum 29 September depan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), sebanyak 60 kerusi DUN dipertandingkan tetapi pada Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah menjadikan jumlah keseluruhan 73 kerusi.

Sementara itu, Mohd Amar berkata PAS telah menggugurkan perkara membabitkan kandungan sumpah baiah talak tiga kepada calon-calon parti itu yang bakal bertanding dalam PRU15.

“Perkara ini sudahpun dijelaskan oleh Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan isu talak ini sudah jelas. Kita (PAS) hanya membuangkan perkara berkaitan talak tetapi baiah mesti ada dalam parti (sebagai kesetiaan kepada parti),” katanya. – BERNAMA