Patriotisme menurut neraca Islam

- Advertisement -

HARI ini sudah memasuki bulan kemerdekaan tanah air kita. Tarikh bersejarah yang kita sedia maklum ialah 31 Ogos 1957. Topik yang sangat sesuai untuk dibincangkan ialah mengenai cinta kepada tanah air atau istilah mudahnya ialah Patriotisme.

Dalam membincangkan perkara ini, terdapat beberapa sudut yang menarik untuk dikongsikan:

- Advertisement -

(1) Cintakan tanah air.

Allah S.W.T menggambarkan di dalam al-Quran bahawa sudah sememangnya menjadi satu lumrah, bahawa manusia itu sukar untuk dipisahkan dengan tanah airnya. Allah S.W.T berfirman di dalam al-Quran;

وَلَوْ أَنَّا كَتَبْنَا عَلَيْهِمْ أَنِ اقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ أَوِ اخْرُجُوا مِن دِيَارِكُم مَّا فَعَلُوهُ إِلَّا قَلِيلٌ مِّنْهُمْ

“Dan sesungguhnya kalau Kami wajibkan kepada mereka (dengan perintah): “Bunuhlah diri kamu sendiri, atau keluarlah dari tempat kediaman kamu”, nescaya mereka tidak akan melakukannya, kecuali sedikit di antara mereka. Dan sesungguhnya kalau mereka amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah) yang telah diberikan kepada mereka, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih meneguhkan (iman mereka).”

(an-Nisa: 66)

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.A bahawa Nabi S.A.W pernah berkata pada Makkah:

مَا أَطْيَبَكِ مِنْ بَلَدٍ، وَأَحَبَّكِ إِلَيَّ، وَلَوْلَا أَنَّ قَوْمِي أَخْرَجُونِي مِنْكِ مَا سَكَنْتُ غَيْرَكِ

“Alangkah baiknya dirimu wahai Makkah dan betapa cintanya diriku terhadapmu, seandainya kaumku tidak mengeluarkanku darimu, pasti aku tidak akan tinggal di tempat selain daripadamu.”

(Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Kecintaan kepada tanah air perlu disulam dengan dasar-dasar syarak dan bukannya hanya sekadar sentimen semata-mata. Berjuang mempertahankan tanah air daripada diceroboh, dijajah dan sebagainya juga selari dengan tuntutan syarak.

(2) Kedaulatan dan kekuasaan.

Cintakan tanah air bukanlah asabiyyah yang tersimpang. Ia juga bukanlah semangat Nasionalisme yang keterlaluan. Akan tetapi ia adalah kefahaman bahawa tuntutan mempertahankan tanah air itu merupakan salah satu daripada tuntutan syarak.

Antara yang dibahaskan dalam bab ini contohnya pemilikan tanah. Nabi S.A.W bersabda;

مَنْ بَاعَ دَارًا وَلَمْ يَجْعَلْ ثَمَنَهَا فِي مِثْلِهَا لَمْ يُبَارَكْ لَهُ فِيهَا

“Sesiapa yang menjual tempat tinggalnya, sedangkan dia tidak menggantikannya dengan rumah atau tanah yang lain, maka jual belinya tidak diberkati.”

(Riwayat Ibn Majah)

Antara yang dihuraikan di dalam Syarah مشكاة المصابح berdasarkan petikan Hadis ini:

يَعْنِي: بَيْعُ الْأَرَاضِي وَالدُّورِ وَصَرْفُ ثَمَنِهَا إِلَى الْمَنْقُولَاتِ غَيْرُ مُسْتَحَبٍّ، لِأَنَّهَا كَثِيرَةُ الْمَنَافِعِ قَلِيلَةُ الْآفَةِ لَا يَسْرِقُهَا سَارِقٌ وَلَا يَلْحَقُهَا غَارَةٌ بِخِلَافِ الْمَنْقُولَاتِ، فَالْأَوْلَى أَنْ لَا تُبَاعَ وَإِنْ بَاعَهَا فَالْأَوْلَى صَرْفُ ثَمَنِهَا إِلَى أَرْضٍ أَوْ دَارٍ

“Iaitu menjual tanah dan rumah, lalu duit jualan itu digunakan untuk membeli sesuatu yang boleh berpindah, hukumnya tidak digalakkan. Kerana manfaatnya banyak dan sedikit rintangan. Ia (tanah) tidak dicuri, terselamat dari rompakan, berbeza dengan sesuatu yang boleh berpindah. Maka yang lebih utama tidak menjualnya. Jika terpaksa menjualnya, lebih patut duit jualan itu digunakan untuk beli rumah atau tanah yang lain.”

Dalam Hadis di atas, membincangkan keutamaan untuk tidak menjual tanah. Ini kerana tanah adalah salah satu lambang kedaulatan tanah air dan kekuasaan yang mesti dijaga, dan tidak mudah-mudah untuk dijual.

Mereka yang memiliki sebidang tanah, berkuasa terhadapnya. Begitulah juga dalam konteks negara, Islam menyuruh supaya mempertahankannya atas dasar kecintaan terhadap tanah air. Ini kerana tanah air itu sendiri berkaitan dengan penguasaan terhadap tanah.

(3) Penguasaan Yahudi di Madinah.

Antara pedoman yang perlu kita semaikan dalam memahami konsep memelihara hak tanah sebagai lambang kepada kecintaan terhadap tanah air, ialah melalui sejarah Madinah sebelum kedatangan Baginda S.A.W.

Syeikh Sofiurrahman al-Mubarakfuri menceritakan di dalam الرحيق المختوم bahawa orang-orang Yahudi asalnya adalah pelarian, masuk ke Madinah (Yathrib) dalam keadaan sebatang kara. Mereka membuka pasar-pasar mereka untuk saling menguatkan ekonomi sendiri. Setelah memiliki modal yang agak kukuh, mereka mula membuka peluang kepada orang-orang tempatan Yathrib untuk membuat pinjaman.

Konsep pinjaman (loan) yang diamalkan ialah berasaskan riba yang dikenali sebagai bunga atau ‘interest’. Orang Yathrib yang terpegun dengan tawaran pinjaman secara ‘cash’ yang tinggi nilainya, mula berpusu-pusu membuat pinjaman dengan orang-orang Yahudi Kapitalis. Riba yang disediakan menanti mangsa. Apabila di saat membayar hutang, perlu dibayar lebih. Maka, tempoh pembayaran hutang jadi berlanjutan disebabkan ‘interest’nya bertambah.

Apabila bertambah masa untuk membayarnya, bertambahlah nilai yang perlu dibayar. Lama kelamaan, duit pinjaman yang sikit menjadi semakin banyak. Orang Yathrib yang terikat dengan hutang mula jatuh ke dalam perangkap Yahudi. Lantas apabila hutang yang dibebani dengan riba sudah mencecah tahap sangat tinggi, orang Yahudi tadi akan datang kepada peminjam tersebut dan membuat tawaran.

Antara tawaran yang ditawarkan kepada orang Yathrib untuk langsaikan hutang mereka ialah menggantikannya dengan tanah yang dimiliki oleh peminjam itu. Kaedahnya ialah, berikan tanah, hutang pun langsai. Terma ini membuatkan tanah-tanah orang Yathrib mula tergadai kepada orang Yahudi. Asalnya mereka itu pelarian, akhirnya sudah memiliki tanah dengan cara mudah. Hanya bermodalkan sedikit duit untuk diberi pinjaman, dan dibesarkan dengan riba.

(4) Larangan asabiyyah.

Dalam menghuraikan Patriotisme atau semangat cintakan tanah air ini, perlulah dialirkan mengikut neraca syarak, jauh daripada keterpesongan asabiyyah, berdasarkan Hadis Nabi S.A.W;

لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّة وليس منا من قاتل علي عصبية وليس منا من مات علي عصبية

”Bukan termasuk umatku siapa saja yang menyeru orang pada asabiyah, bukan dari golongan kami orang yang berperang kerana asabiyah, dan bukan dari golongan kami orang yang mati kerana asabiyah.”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Di dalam Hadis yang lain, Nabi S.A.W ditanya;

يا رسول الله, أمن العصبية أن يحب الرجل قومه؟

“Wahai Rasulullah! Apakah kecintaan kami kepada kaum itu dikatakan al-asabiyyah?”

لا، ولكن من العصبية أن يعين الرجل قومه على الظلم

“Sabda Baginda : “Tidak, sebaliknya asabiyah itu ialah apabila kamu menolong kaummu atas kezaliman.””

(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Asobiyyah secara ringkasnya adalah membela dan memenangkan pihak kita secara membuta tuli tanpa mengambil kira siapa betul siapa salah. Dalam aspek Patriotisme dan Nasionalisme, ia mestilah dibina atas dasar kebenaran semata-mata. Sekiranya pihak kita berada di atas jalan salah, haram untuk kita menyokongnya bahkan perlu berani untuk memperbetulkan kesalahan tersebut.

Sabda Rasulullah S.A.W:

إنما أهلك الذين من قبلكم أنهم كانوا إذا سرق فيهم الشريف تركوه ، وإذا سرق فيهم الضعيف أقاموا عليه الحد ، وايم الله : لو أن فاطمة بنت محمد سرقت لقطعت يدها

“Sesungguhnya yang membinasakan umat sebelum kamu adalah apabila mencuri di kalangan mereka orang mulia, mereka lepaskan dia. Sebaliknya, apabila yang mencuri itu orang lemah, mereka tegakkan ke atasnya hukum hudud. Aku bersumpah dengan nama Allah, Seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku potong tangannya!”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Kesimpulan

Jelas, kecintaan terhadap tanah air bukan sahaja tidak bertentangan dengan Islam, bahkan ia selari dengan tuntutan Islam. Semangat Patriotisme adalah satu sifat terpuji yang perlu dipupuk oleh umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia.

Patriotisme yang dituntut adalah:

(1) Membantu negara mencapai kemajuan dan keamanan.

(2) Memelihara nama baik negara di mata dunia.

(3) Mempertahankan negara dari sebarang ancaman.

Ketiga tiga ini selaras dengan Islam. Dalam hal ini Islam menekankan aspek kerjasama untuk membangunkan negara. Hal ini juga dihuraikan panjang lebar oleh Ibnu Khaldun di dalam المقدمة. Beliau mengatakan bahawa perbincangan mengenai ‘Kerjasama Masyarakat’ adalah perbahasan yang hampir sama dengan ‘Sejarah’. Ini kerana maksudnya:

خبر عن الاجتماع الإنساني الذي هو عمران العالم

“Pengkhabaran (sejarah) mengenai kerjasama manusia itu adalah kemakmuran sejagat.”

Teori Kemakmuran Sejagat ini disebut dengan عمران العالم di dalam Bahasa Arab. Ramai pengkaji Kitab المقدمة menghuraikan mengenai maksud teori ini. Antaranya Dr Muhammad ‘Abid al Jabri di dalam kitab فكر ابن خلدون العصبية والدولة yang menghuraikan maksudnya;

“Suatu fenomena sosial yang digerakkan oleh sekumpulan masyarakat yang bekerjasama atau bermuafakat di kawasan kota atau desa dalam sebuah negara yang berdaulat dan berpengaruh bagi tujuan memenuhi keperluan hidup yang selesa dan makmur sama ada dari segi rohani atau jasmani berpandukan agama dan akhlak serta hukum dan peraturan kejadian alam dan manusia ciptaan Allah S.W.T.”

YB USTAZ MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 6/8/2020

- Advertisement -