MAHA 2020 dianjur secara fizikal dan maya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2020 yang dijadualkan pada 26 hingga 29 November depan akan diadakan secara hibrid iaitu fizikal dan maya dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19.

- Advertisement -

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  berkata Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang akan menyediakan garis panduan yang perlu dipatuhi bagi tujuan penganjuran pameran itu.

”Garis panduan tersebut termasuklah hanya peserta yang diberi kad jemputan sahaja dibenarkan masuk dengan kehadiran perlu direkodkan.

“ Manakala bagi peserta antarabangsa pula, mereka hanya dibenarkan terlibat  secara dalam talian,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Jelasnya, prosedur operasi standard (SOP) bagi perancangan dan pelaksanaan pameran itu akan diperhalusi dan dibincangkan lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal.

Berkenaan Task Force Operasi Pematuhan, Ismail Sabri berkata sebanyak 121 individu ditahan atas kesalahan ingkar PKPP semalam.

“Daripada jumlah itu, seramai 32 individu telah direman dan dua individu dijamin manakala 87 individu pula dikenakan kompaun,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata sebanyak 63 sekatan jalan raya dilakukan menerusi Operasi Benteng semalam dengan 35,471 buah kenderaan diperiksa.

“Hasil pemeriksaan itu dua warga asing ditahan kerana kesalahan imigresen. Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang terlibat dalam penyeludupan masuk  pendatang tanpa izin, “ katanya.

Bagi operasi sanitasi awam pula, beliau memaklumkan sebanyak 16 operasi meliputi 13 zon termasuk satu zon kuning telah dilakukan di tujuh negeri termasuk Sabah, Melaka, Kedah dan Terengganu.  – BERNAMA

- Advertisement -