Khidmat JSPK jangan ada kepentingan – Ustaz Idris

- Advertisement -

BUKIT GANTANG: Setiap Ahli Jawatankuasa Sementara Pengurusan Kampung (JSPK) diingatkan agar melaksanakan tugas dan amanah kerana Allah S.W.T bukan sebab kepentingan diri dan kedudukan semata-mata.

- Advertisement -

Ahli-ahli JSPK juga diingatkan agar mendalami ilmu pentadbiran dan pengurusan kampung, membina hubungan yang baik dengan agensi-agensi kerajaan serta mengenalpasti permasalahan yang berlaku di tempat masing-masing.

Begitulah nasihat yang diperingatkan Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Penyampaian Watikah dan Surat Lantikan JSPK mewakili PAS Parlimen Bukit Gantang di Pusat Tarbiah PAS, dekat sini semalam.

“Ahli-ahli JSPK perlu merekodkan setiap permasalahan yang wujud di kampung masing-masing, mengambil tindakan segera berhubung dengan agensi-agensi berkaitan dan memastikan masalah-masalah yang berlaku dapat diatasi.

“Salurkan sumbangan yang diberikan oleh kerajaan secara adil, jangan beri kepada yang tidak berhak dan sentiasa meuar-uarkan insentif-insentif yang ditawarkan oleh kerajaan kepada rakyat.

“Keraplah hadir ke masjid dan surau-surau kerana di sana ahli-ahli JSPK dapat mendekati masyarakat, mendengar keluhan mereka dan berkongsi maklumat mengenai peluang-peluang yang ditawarkan oleh kerajaan,” tambahnya.

Sementara itu Yang Dipertua PAS Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman mengingatkan agar ahli-ahli JSPK tidak mencurahkan khidmat berdasarkan jumlah elaun bulanan yang diterima tetapi bekerja dengan niat kerana Allah S.W.T.

“Jika kita bekerja kerana elaun, sudah pasti kita tidak berpuas hati dengan jumlah elaun yang diterima dan memungkinkan kita menggunakan kedudukan yang ada untuk kepentingan diri sendiri.

“Kita adalah ‘khalifah kecil’ dalam masyarakat dan kedudukan kita ditentukan melalui saluran parti. Justeru itu, jagalah nama baik parti, tonjolkan akhlak yang mulia serta manfaatkan kedudukan kita untuk menyampaian dakwah dan mesej agama kepada masyarakat,” serunya.

Pada majlis itu, seramai 45 ahli-ahli JSPK yang mewakili PAS Kawasan Bukit Gantang menerima watikah dan surat lantikan yang disampaikan oleh Senator Ustaz Idris.

Turut hadir, Penghulu- penghulu Mukim Ahmad Asmadi Mat Salim (Taiping), Mustafa Kamal Zahari (Bukit Gantang), Nasarudin Mat Nawi (Matang), Ashraf Ali Anvar Deen (Trong) dan Zulfadli Ahmad (Sungai Tinggi). – HARAKAHDAILY 6/8/2020

- Advertisement -