Isu LCS: Malaysia perlukan solidariti ASEAN

KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan menghubungi pemimpin Amerika Syarikat dan China untuk menyatakan komitmen Malaysia bagi menyelesaikan isu Laut China Selatan.

Advertisement

Bagi tujuan itu, Hishammuddin berkata beliau akan membuat panggilan kepada Menteri Luar China, Wang Yi, pada malam ini dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo esok, antara lain untuk membangkitkan isu berkenaan kepada kedua-dua pemimpin terbabit. 

“Malaysia tidak sepatutnya diheret dan terperangkap dalam geopolitik pertimbangan kuasa besar dan perlu berusaha mengelakkan sebarang insiden tidak diingini di perairan itu, termasuk pertembungan ketenteraan di perairan oleh mana-mana pihak.

“Malaysia sejak dahulu lagi sentiasa komited untuk menyelesaikan isu Laut China Selatan secara konstruktif dengan menggunakan forum dan saluran diplomatik yang bersesuaian,” katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat, di sini semalam.

Hishammuddin berkata isu tuntutan sempadan maritim di Laut China Selatan tidak boleh disalahgunakan sebagai punca untuk memecah-belahkan negara-negara ASEAN.
 
Beliau berkata dalam menghadapi kuasa besar, ASEAN harus bersatu padu sebagai sebuah blok supaya segala kekuatan bersama dapat diterjemahkan secara efektif.

“Jika kita terikut-ikut naratif dan tekanan kuasa besar, potensi untuk negara-negara ASEAN cenderung dan memihak kepada negara-negara tertentu adalah tinggi,” katanya.

Katanya, harus diingat bahawa isu Laut China Selatan bukan hanya dengan negara China, tetapi terdapat tuntutan bertindih dari negara-negara jiran iaitu Filipina, Vietnam dan Brunei.

“Kalau sekiranya negara ASEAN berpecah, jangan haraplah … kalau kita Malaysia sendiri tak dapat berdepan dengan China dan Amerika Syarikat.

Peluang terbaik kita ialah supaya ASEAN menjadi padu dan sebab itu dalam menyelesaikan isu ini dengan China, kita juga perlu memastikan solidariti ASEAN ini kukuh dalam satu blok untuk berhadapan dengan kuasa besar,” katanya. – BERNAMA