Berhati-hati Sang Kelembai

- Advertisement -

DATUK Zaharin Mohd Yasin adalah kenalan baik saya. Saya lihat beliau sebagai seorang penulis dan pengulas politik yang veteran.

Semasa saya mula kenal beliau lebih belasan tahun dahulu beliau Umno dan saya PAS, kami berkawan sebelum pun Umno dan PAS jalin permuafakatan. Atas minat yang sama menulis dan mengulas politik kami menjalin persahabatan.

Tapi Datuk bahasanya tajam, tegur, sindir dan rempuh ikut suka. Pada beliau dunia penulisan ini tiada batas dan sempadan tiada mengenal adab dan dosa. Di sinilah perbezaan kami namun itulah Zaharin @ Sang Kelembai.

- Advertisement -

Maaf Datuk posting terbaru Datuk ini saya tak dapat terima. Dalam politik ini kita memusuhi orang jangan sampai membenci tak mustahil hari ini musuh esok kawan, itu lumrah.

Datuk sendiri pun banyak pasang-surut apatah lagi orang lain. Abu Sufyan dan Khalid al-Walid awalnya musuh Islam tapi kemudian Rasulullah boleh dakap dan terima sebagai Sahabatnya apalah sangat kita.

PAS tidak berubah Datuk, orang yang keluar masuk mungkin. Kerana itu pasca PRU14 bila ramai lompat melompat, perangai itu tiada dalam PAS.

Keterlaluan Datuk sebut serban dan kopiah disangkut orang PAS bila berkuasa, itu saya kira satu singgungan yang silap sebagaimana Datuk banyak silap dalam ulasan-ulasan Datuk yang lain.

Tulislah Datuk tetapi berhati-hati kerana jari jemari kita bukan untuk cari makan di dunia sahaja di akhirat nanti ia akan jadi saksi. Apa pun kita tetap kawan.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 6/8/2020

- Advertisement -