PAS Petra Jaya sempurnakan ibadah korban

PETRA JAYA: PAS Kawasan Petra Jaya telah menganjurkan program Ibadah Korban Perdana sebagai memenuhi tuntutan agana dan menghayati ibrah perjuangan keluarga Nabi Ibrahim A.S, bertempat di DUN Samariang, di sini pada 1 dan 2 Ogos lalu.

Advertisement

Yang DiPertua PAS Kawasan Petra Jaya, Morshidi Hassan berkata, program ini juga telah dapat memberi peluang kepada ahli PAS Petra Jaya untuk membantu dan menyantuni golongan asnaf yang memerlukan di sekitar DUN tersebut.

Pimpinan PAS Petra Jaya yang turut hadir bersama dalam program ini adalah Ketua Pemuda, Salim Sharif dan Ketua Muslimat, Habsah Bujang serta Ketua Ulamak, Ustaz Salman Hashim, ahli PAS yang lain serta jiran tetangga berdekatan.

Sebanyak sembilan ekor lembu dikorbankan dengan semua kerja penyembelihan, melapah dan mengagihkan daging korban telah dijayakan secara gotong-royong, selain turut diserikan dengan acara cabutan bertuah.

“Alhamdulillah, kita berjaya agih daging korban kepada lebih 300 keluarga asnaf, justeru membuktikan PAS tidak berfokus pada politik semata-mata tetapi PAS juga menitikberat soal ibadah dan prihatin terhadap kebajikan¬† masyarakat,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 5/8/2020