MRC sedia 10,000 peluang pekerjaan

Kerajaan memulangkan semula peluang pekerjaan dalam industri getah kepada rakyat tempatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Malaysia Rubber Council (MRC) atau Majlis Getah Malaysia bakal membantu menyediakan 10,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dalam industri hiliran terutamanya sektor membabitkan industri getah.

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, rentetan daripada pandemik Covid-19, ramai pekerja asing tidak dibenarkan untuk masuk semula ke Malaysia.

- Advertisement -

Justeru itu, kata Khairuddin, ini adalah masa untuk kerajaan memulangkan semula peluang pekerjaan dalam industri getah kepada rakyat tempatan apabila kerajaan mengambil keputusan untuk membekukan sementara kemasukan warga asing dan pekerja asing.

“Untuk itu, di peringkat MRC kita menyediakan dana khas berjumlah RM36 juta bagi menggalakkan industri hiliran terutamanya sektor pengeluaran getah.

“Konsepnya ialah kita sediakan subsidi upah RM300 ringgit untuk seorang warga tempatan bagi tempoh 12 bulan, bersamaan RM3,600 ringgit untuk seorang pekerja tempatan yang diambil bekerja dalam sektor hiliran ini untuk tempoh setahun.

“Kita harap dengan dana ini kita berjaya menyediakan peluang pekerjaaan kepada 10,000 rakyat Malaysia bagi menggantikan 10,000 warga asing yang bekerja di sektor hiliran getah terutamanya di sektor pengeluaran sarung tangan getah,” ujarnya dalam satu Sidang Media di Parlimen, semalam.

MRC adalah agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yang bertanggungjawab untuk mempromosikan produk getah berkualiti Malaysia di pasaran dunia, khususnya bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana.

Dana berjumlah RM36 juta itu menyasarkan pengambilan sekurang-kurangnya 10,000 pekerja tempatan dalam lebih daripada 200 buah syarikat di sektor industri getah.

Dana khas itu akan dibuka kepada syarikat pembuatan berasaskan getah untuk menggiatkan lagi pengambilan pekerja tempatan mulai Ogos 2020 sehingga Disember 2021. – HARAKAHDAILY 5/8/2020

- Advertisement -