KPPK angkat martabat negara dan rakyat

negara
- Advertisement -

PANDEMIK COVID-19 membawa kesan yang menjejaskan ekonomi rata-rata keseluruhan negara di dunia. Rakyat jelata sudah tentu menjadi mangsa apabila langkah-langkah pengawalan, pencegahan dan pemulihan mendepani pandemik ini menjejaskan hampir keseluruhan aktiviti dan kegiatan ekonomi sehingga beberapa sektor terpaksa memperlahankan aktiviti mereka dan malah ada di antaranya terpaksa gulung tikar lalu meningkatkan lagi kadar pengangguran dalam negara.

Lantaran itu idea dan program yang kreatif dan inovatif perlu sentiasa dicetuskan pihak berkuasa dalam menghadapi ‘new normal’ ini demi menyelamatkan ekonomi negara dan mengelakkan kehidupan rakyat dari terus terjejas sebagaimana di negara lain.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak terkecuali memikul tanggungjawab memastikan pandemik ini terkawal dan tidak menjejaskan kehidupan rakyat. Selain itu beberapa langkah segera diperkenalkan bagi meringankan beban rakyat dan memastikan ekonomi negara tidak terjejas teruk akibat kejutan ini.

- Advertisement -

Salah sebuah kementerian yang sentiasa kehadapan dalam memikul tanggungjawab ini dengan melahirkan peluang-peluang baru dalam suasana yang tidak menentu ini adalah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang diterajui Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Terbaru Kementerian telah mengambil langkah proaktif mempelbagaikan lagi peranan agensi di bawahnya iaitu Majlis Getah Malaysia yang dahulunya dikenali Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia, majlis bukan hanya terlibat dalam aktiviti mempromosi produk getah ke luar tetapi juga turut memberi perhatian kepada industri hiliran dan modal insan yang berkaitan.

Menteri Datuk Dr Mohd Khairuddin mengumumkan semalam peruntukkan sebanyak RM36 juta kepada majlis ini bagi menggalakkan industri hiliran terutama sektor pengeluaran sarung tangan getah agar mengambil lebih ramai pekerja-pekerja tempatan dalam usaha mengurangkan pergantungan negara kepada tenaga buruh asing.

Adalah dijangkakan melalui tawaran pemberian insentif ini kira-kira 200 para pemilik industri seluruh negara akan terangsang untuk mempertingkatkan pengambilan pekerja tempatan. Dan jika program ini berjaya ianya bakal membuka peluang pekerjaan kepada lebih 10,000 anak-anak tempatan.

Dalam suasana ekonomi hari ini, inisiatif pintar yang diperkenalkan oleh Menteri ini sudah pasti sangat dialu-alukan kerana ianya akan mengurangkan kadar pengangguran dan merangsang industri tempatan agar turut terlibat dalam usaha memulihkan ekonomi negara dalam era ‘new normal’ ini.

Terbukti kebajikan dan nasib rakyat di Malaysia sentiasa mendapat perhatian pihak kerajaan dan diberikan keutamaan. Semoga langkah Kementerian ini akan menjadi pemangkin kepada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang lain di Kerajaan PN untuk terus meneroka langkah kreatif dan inovatif di saat tidak menentu ini demi membela dan menjamin nasib dan masa depan yang lebih meyakinkan buat rakyat dan negara amnya.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 5/8/2020

- Advertisement -