Islam dan penggunaan media sosial

- Advertisement -

JAGA percakapan dan tulisan

Mengawal lisan bukanlah semudah yang disangka. Ditambah lagi dunia moden hari ini, ‘lisan’ tidak hanya pada tutur bicara namun ia juga pada ‘tulisan’ yang terhasil menerusi tari gerak jari jemari.

Malahan perbincangan tulisan pada hukum martabat bicara sudah wujud dari sudut fiqh dan ia diiktiraf selama mana zahir tulisan jelas maknanya tanpa ada bukti kecenderungan makna selainnya atau makna kedua. Makna kata, zahir tulisan yang tertera dihukum sebagaimana zahir tutur bicara seseorang.

- Advertisement -

Kaedah menyebut:

الكتابة تقوم مقام قول الكاتب

“Tulisan dikira (dihukumkan) pada martabat perkataan bagi si penulis.”

Di media sosial khususnya, bukan mudah untuk mengawal pengguna media sosial dari menulis apa sahaja yang dikehendaki. Apatah lagi jika kebebasan bersuara ditafsirkan dengan kefahaman menyeleweng ialah suka hati nak cakap apa sahaja.

Sedangkan dalam Islam, sesuatu hak atau kebebasan adanya garis panduan. Selama mana ia tidak melampaui maka ia diharuskan, jika melampaui batasan, maka ia dilarang.

Sebab itu, dalam mengawal lisan begitu juga tulisan, ia diikat dengan pasak keimanan. Walaupun dilihat remeh, namun panduan Hadis Rasulullah S.A.W mengingatkan dengan permulaan pasak keimanan bagi mengawal lisan sama ada bercakap baik atau diam dari bercakap perkara yang tidak elok serta sia-sia.

Hadis dari Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

من كان يؤمن بالله واليوم الآخر، فليقل خيرًا أو ليصمت

“Siapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka berkatalah sesuatu yang baik atau diam (dari perkara sia-sia dan tidak elok).”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jaga penampilan dalam bergambar

Bergambar tidak salah. Ada yang bergambar untuk berkongsi kisah dan ada juga bergambar sebagai simpanan kenangan. Asas penampilan bergambar di media sosial sama sahaja sebagaimana asas penampilan secara bersemuka atau dunia realiti. Selagimana penampilan itu:

(1) Menjaga pemakaian pematuhan syariah.
(2) Menjaga syaksiah Muslim dan Muslimah.
(3) Beradab dan tidak keterlaluan pada pertimbangan uruf dan moral.
(4) Tidak sengaja mengundang fitnah mendatang.

Maka penampilan itu adalah diharuskan sebagaimana di atas. Cuma bezanya jika dalam ruangan media sosial ia lebih luas rangkaiannya yang tidak terhad pada ruang sekeliling sahaja. Semakin luas, maka semakin besar impaknya jika tidak dipelihara.

Sebab itu, penjagaan penampilan sangat penting kerana ia boleh dimanipulasi apatah lagi zaman moden yang memiliki aplikasi pelbagai yang boleh mengundang negatif jika berlaku penyalahgunaan.

Ia boleh diambil pengajaran sebagaimana larangan menghentak hentak kaki untuk diperdengarkan apa yang dipakai di gelang kaki kepada orang ramai sekalipun tanpa memperlihatkannya secara zahir dan umum.

Firman Allah S.W.T:

وَلَا یَضۡرِبۡنَ بِأَرۡجُلِهِنَّ لِیُعۡلَمَ مَا یُخۡفِینَ مِن زِینَتِهِنَّۚ

“Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka;”

[an-Nur: 31]

Jangan jadikan media sosial gudang dosa

Media sosial hanyalah alat dan medium perkongsian sosial. Yang perlu dididik ialah pengguna media sosial agar matang dalam pertimbangan sesuatu tindakan yang diambil. Jangan menjadikan media sosial sebagai gudang dosa, rugi. Jadikanlah media sosial sebagai gudang pahala.

Kongsi, ceritakan dan tular akan:

(1) Yang benar.
(2) Yang bermanfaat.
(3) Yang ada nilai pengajaran dan pendidikan.

Hadis dari Abu Mas’ud ‘Uqbah bin Amriy Al-Anshori Al-Badriy, beliau berkata: Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ.

“Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya.”

(Riwayat Muslim)

Hari ini kesilapan penggunaan media sosial dengan keterbukaan tanpa didikan nilai iman, mengundang parah ke atas individu, keluarga dan masyarakat. Antara pengaruh buruk yang berlaku ialah:

(1) Bunuh diri.

Ketua Bahagian Kaunseling, Universiti Putra Malaysia, Mohd Redzuan Zamberi berkata, kejadian gadis yang meragut nyawa sendiri akibat ‘undian maut’ dalam media sosial menunjukkan betapa pengaruh media sosial terhadap konsep diri dan tahap kesihatan mental khususnya remaja perlu dipandang serius. – sumber: Sinar Harian 12 Jun 2019.

(2) Penyakit mental.

Pakar Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Rozanizam Zakaria menyatakan teori yang membincangkan mengenai perkaitan antara penggunaan media sosial yang berlebihan dengan masalah mental antaranya ialah:

(i) Pendedahan kepada masalah gangguan secara maya seperti buli siber.

(ii) Teori behavioural displacement yang mana masa berlebihan di media sosial menyebabkan semakin berkurangnya gaya hidup sihat (bersukan, berekreasi dan bersosial).

(iii) Fenomena fear of missing out. Lazimnya berlaku dalam kalangan remaja di media sosial yang menyaksikan mereka sentiasa terdedah kepada tekanan untuk sentiasa mengikuti trend terkini. Ini secara tidak langsung boleh menyumbang kepada tekanan sosial, rasa rendah keyakinan diri dan kemurungan.

(iv) Teori social displacement. Persahabatan maya telah menggantikan persahabatan realiti. Akibatnya ramai yang hilang kemahiran bersosial dan sokongan sosial yang diperlukan dalam keadaan seseorang itu mengalami tekanan hidup.

(3) Kes penceraian.

Trend penggunaan gajet elektronik dan media sosial didapati mampu menjadi penyebab penceraian, kata seorang pakar keluarga iaitu Pakar Psikologi dan Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mariani Mohd Nor. Beliau berkata aplikasi seperti WhatsApp boleh menjadi platform untuk pasangan muda meluahkan perasaan marah apabila berhadapan konflik rumah tangga.

Di London, terdapat kajian yang dikendalikan oleh firma guaman Slater dan Gordon mendapati, Facebook, Skype, Snapchat, Twitter, WhatsApp dan beberapa media sosial yang lain memainkan peranan dalam kes penceraian.

Media sosial bukan ‘gelanggang’ untuk masalah aib dalaman

Saling membuka pekung antara gejala tidak sihat dalam rumah tangga, apabila ada suami isteri mengambil kesempatan menggunakan kuasa viral di media sosial sebagai jalan penyelesaian konflik.

Tindakan Hindun menemui Rasulullah S.A.W ialah kaedah terbaik mencari jalan penyelesaian kerana mendapatkan khidmat nasihat Baginda yang memiliki keperibadian amat tinggi, amat boleh dipercayai dan sentiasa menjaga aib orang sekeliling.

Ibrah daripada kisah itu cukup mengingatkan suami isteri supaya tidak semberono meluahkan masalah rumah tangga, apatah lagi membincangkannya secara terbuka dalam media sosial bertujuan memburuk-burukkan pasangan.

Menggunakan cara menghebahkan aib dalaman ke media sosial untuk mendapatkan pembelaan tidak akan menyelesaikan keadaan. Sedangkan jelas hukumnya atau mencari kaedah yang dibenarkan syarak seperti mengadu kepada wali atau kadi.

Ahli motivasi dan pendakwah, Noor Laila Aniza Zakaria, menjelaskan bahawa hal aib dalam mestilah menggunakan saluran betul seperti mendapatkan khidmat nasihat pejabat agama atau jika pasangan enggan berbincang, boleh terus ke mahkamah syariah bagi mendapatkan pembelaan.

Sekiranya jalan terakhir ialah perpisahan, maka bulatkan tekad untuk ke Mahkamah Syariah dan usah buruk-burukkan pasangan, kerana ia menyukarkan lagi keadaan kerana membabitkan maruah.

USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 5/8/2020

- Advertisement -