Heret suspek kes Adib amat dialukan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan untuk mengheret 12 suspek yang disyaki terlibat dalam kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim ke muka pengadilan sangat dinanti oleh rakyat Malaysia.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata pembelaan terhadap kematian Allahyarham Adib perlu dijadikan keutamaan oleh kerajaan.

“Sesungguhnya pembelaan terhadap kematian Allahyarham Adib perlu sentiasa dijadikan keutamaan oleh kerajaan tanpa sebarang kompromi.

“Apatah lagi Mahkamah Koroner Shah Alam juga telah memutuskan bahawa punca kematian beliau adalah dibunuh.

“Sewajarnya ia telah memuktamadkan kedudukan kes ini dan memerlukan tindakan segera daripada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Semasa sesi penggulungan di dalam Dewan Rakyat semalam, Menteri Dalam Negeri (KDN), Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata kertas siasatan kes kematian Allahyarham Adib telah dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu.

Dalam rujukan semula kes itu, mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kes kematian Adib akan dituduh di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Selain itu, mencadangkan supaya membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara.

Mengulas lanjut, Che Alias berkata, pengumuman pihak KDN ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada rakyat khususnya ahli keluarga Allahyarham Adib yang menantikan tindakan tuntas terhadap kes ini.

“Saya juga mengharapkan agar pihak berkuasa dapat menjalankan tugas dengan sebaiknya demi merealisasi hasrat rakyat yang mahu melihat mereka yang terlibat menerima hukuman yang setimpal,” katanya lagi.

Allahyarham Adib merupakan seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam telah memutuskan bahawa kematian Allahyarham Adib akibat daripada perbuatan jenayah.- HARAKAHDAILY 5/8/2020

- Advertisement -