e-Sistem mudahkan NGO mohon peruntukan

- Advertisement -

IPOH: Seiring Revolusi Industri Keempat (RI 4.0), negeri Perak telah membangunkan portal e-Sistem NGO bagi melicinkan urusan antara Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dengan pentadbiran Kerajaan Negeri menggunakan internet sebagai medium.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil, Razman Zakaria berkata, portal tersebut adalah bagi menambahbaik sistem pengurusan sumbangan dan kolaborasi NGO dengan pihak kerajaan supaya lebih sistematik dan mesra rakyat.

“Kita cuba selaraskan proses permohonan dana NGO, pihak pelaksana juga cuba untuk mengelakkan permohonan bertindih supaya peruntukkan dan manfaat ini dapat dirasai oleh semua NGO dan masyarakat dengan adil.

“Pemohon hanya isi borang secara atas talian dan semak status di portal tersebut dari semasa ke semasa sama ada permohonan diterima atau ditolak,” tambah beliau.

Terangnya, proses permohonan mengambil masa lebih singkat berbanding proses permohonan secara manual yang memerlukan pemohon hadir dan hantar borang permohonan ke pejabat EXCO.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Khairul Shahril Mohamed berkata, inisiatif ini dapat membantu melicinkan pentadbiran kerajaan negeri.

“Kita dapat memantau NGO yang telah memohon dan rekod yang ada diguna pakai untuk menilai aliran dana tersebut selain memastikan permohonan yang telah lulus tidak akan diluluskan lagi melalui kertas kerja sama,” jelas beliau.

Tegasnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), peruntukan setiap EXCO dikurangkan bagi menampung keperluan menangani pandemik COVID-19.

Maklumnya juga, semua permohonan perlu diteliti lebih lanjut dan diproses dalam tempoh sekurang-kurangnya lima hari bekerja sebelum diluluskan.

e-Sistem merupakan portal kendalian Digital Perak bagi memudahkan urusan permohonan peruntukkan oleh NGO kepada Kerajaan Negeri dan pernah beroperasi tahun lalu sebelum dihentikan sementara semasa peralihan kerajaan.

Pemohon boleh layari laman sesawang digital.perak.my bagi maklumat lanjut selain isi permohonan di portal tersebut. – HARAKAHDAILY 5/8/2020

- Advertisement -