Penang Tolak Tambak: Perjuangan belum selesai?

- Advertisement -

KESETANAN itu hanya mampu dilihat dengan perincian yang teliti. Pernyataan ini disebut oleh ahli Falsafah dan Penyair Jerman, Friedrich Wilhelm Nietzsche.

Penyataan ini dalam Bahasa asalnya adalah ‘Der Teufel stecktim Detail’. Difahami secara tersohor dalam Bahasa Inggeris sebagai ‘The Devil is in the detail’.

- Advertisement -

Bercakap mengenai Penang South Reclaimation (PSR), ianya juga mempunyai ciri-ciri kesetanan yang hanya mampu difahami oleh orang mengikuti isu ini secara dekat dan terlibat memberi maklum balas terhadap hitam putih yang ada dalam perinciannya.

The Devil is in the detail

Suatu perkara yang masih gagal difahami secara lojik dalam unjuran populasi Pulau Pinang 2030 sebagai justifikasi mewujudkan PSR. Dalam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP2030) telah diwartakan bersama 3 pulau tambak PSR berkeluasan 4,500 ekar.

RSNPP2030 mengunjurkan pertambahan populasi menjadi 2.45 juta pada tahun 2030. Unjuran yang tak masuk akal telah tersasar jauh daripada unjuran rasmi yang dibuat oleh Jabatan Statistik hanyalah 1.98 juta.

Maka, apakah asasnya pertambahan lebih 450 ribu apabila kadar jumlah kelahiran (Total Fertality Rate-TFR) di Pulau Pinang hanya 1.3 bayi bagi setiap wanita?

TFR 1.3 adalah angka yang terendah di Malaysia berbanding negeri lain, dan disifatkan teramat rendah oleh Pengarah Jabatan Statistik Pulau Pinang, Mohd Uzir Mahidin dalam sidang media pada 29 Julai 2020. 1.3 adalah dengan 1.0 menggantikan si ibu, mana 0.3 untuk si bapa. Ini adalah rendah berbanding kadar penggantian generasi adalah 2.1.

Kadar kematian kasar semakin meningkat daripada tahun ke tahun. Jumlah hartanah tak terjual terus bertambah apabila penyediaan rumah mahal berlebihan. Seiring dengan manipulasi istilah ‘rumah mampu milik’ yang tak selaras dengan tahap pendapatan rakyat kelas pertengahan Pulau Pinang.

Ini mendedahkan realiti bahawa masih ramai rakyat tak mampu beli ‘rumah mampu milik’ versi manipulasi ala Pulau Pinang. Apa yang lebih parah apabila rumah kos rendah yang dibuat terlalu sedikit, tak sepadan dengan permintaan penduduk B40.

Rakyat Pulau Pinang di kalangan Bumiputera membeli rumah di luar pulau telah menjadi norma tersohor yang diketahui ramai. Bahkan ada yang berpindah negeri ke sempadan Pulau Pinang bukanlah pelik. Demi semata-mata untuk mendapatkan rumah yang mampu milik dan selesa untuk membina kehidupan.

Jadi, siapakah sebahagian daripada 450 ribu yang mampu tinggal di 3 pulau PSR tersebut? Rakyat Pulau Pinang? Rakyat Malaysia? Atau barangkali orang asing yang kaya raya?

Keadaan ekonomi meleset di era COVID-19 ini tak wajar untuk terlalu berharap untuk orang asing sesuka hati membeli segala lambakan rumah mahal tersebut.

Inilah yang dikatakan, apabila dirungkaikan secara terperinci, terserlah kesetanan acuan pembangunan dengan justifikasi karut yang datang bersama pakej PSR yang dibanggakan itu.

Sorotan perjuangan bantah PSR

Kesetanan projek PSR ini dapat diukur melalui kerasnya tindakan bantahan di kalangan kumpulan nelayan yang bakal terjejas. Kumpulan-kumpulan NGO aktif memainkan peranan memberi kesedaran sehingga masyarakat sivil turut bersama bangkit menyokong dan menyatakan solidariti.

“Nelayan bukannya menentang pembangunan, sebenarnya kami menyokong pembangunan di Pulau Pinang, tetapi apa yang kami tentang adalah kemusnahan yang bakal dilaksanakan atas nama pembangunan, itulah yang kita tentang.”

Begitulah kobaran ucapan Encik Nazri Ahmad, kini bekas Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara), pada 4 November 2019 dalam Himpunan Solidariti Nelayan bersempena hari pertama Sidang DUN Pulau Pinang.

Beliau membuktikan komitmen yang jitu sehinggalah beliau digugurkan keahlian. Kedengaran cakap-cakap sumbang yang tak adil terhadap beliau oleh pihak yang tidak berada di posisi sebagai pemimpin nelayan yang memikul amanah. Tekanan daripada pihak berkuasa bukan sebarang.

Sesiapa sahaja boleh cakap apa pun selagi tiada tanggungjawab yang perlu ditertibkan dengan cermat. Hakikatnya kini, bukan murah harga yang perlu beliau bayar demi prinsip juangnya untuk mempertahankan masyarakat nelayan.

Perhimpunan Hari Solidariti Nelayan tersebut adalah kesinambungan kejayaan beliau memimpin gerakan protes bersejarah masyarakat nelayan bersama Gerakan Penang Tolak Tambak di Parlimen pada 11 Julai 2019. Delegasi pemimpin nelayan dan NGO ke Parlimen akhirnya berjaya menyerahkan memorandum kepada Menteri Pertanian pada ketika itu.

Di antara 2 himpunan penting tersebut, terdapat satu lagi himpunan yang memberi cabaran kuat terhadap pelobi tambakan 3 pulau PSR. Himpunan ini berlangsung pada 8 September 2019 di Permatang Damar Laut. Himpunan Selamatkan Pulau Pinang – Penang Tolak Tambak PSR ini dianjurkan oleh Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Pulau Pinang dan gabungan 40 NGO.

“Perhimpunan hari ini berjaya mencapai matlamatnya dalam membangkitkan mengenai kesedaran impak negatif daripada projek PSR selepas peserta yang hadir melebihi sasaran.”

Ujar Encik Mohd Akhir Che Mat, Pengerusi Ummah Pulau Pinang setelah kehadiran dicapai melebihi 5,000 orang peserta.

Gerakan Penang Tolak Tambak adalah paduan penting Penang Forum, NGO TEROKA dan masyarakat sivil dalam memugar siri-siri program untuk kesedaran rakyat berkenaan isu PSR pada tahun 2019 sebagai fasa kemuncak yang mencetuskan gelombang demi gelombang penentangan.

Selain itu, suatu fakta yang tak dapat dinafikan terdapat beberapa pihak lagi termasuk penggerak parti politik yang terlibat mencetus fasa-fasa awal penentangan terhadap ini yang tak dapat diungkapkan secara panjang lebar dalam ruangan tulisan kali ini.

Perkembangan semasa isu PSR

Lensa perjuangan Penang Tolak Tambak tidak terlepas daripada membicarakan satu tokoh pemimpin akar umbi nelayan tidak pernah putus asa membantah kerosakan yang bakal dibawa oleh PSR.

Nama tokoh ini disebut oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sidang Parlimen pada 23 Julai 2020 yang lalu ketika Sesi Jawapan Menteri (MQT) untuk menjawab soalan mengenai apakah langkah-langkah strategik yang diambil oleh pihak kementerian bagi mengelakkan Projek Tambak Laut PSR yang memberi impak besar alam sekitar.

Seperti apa yang dijelaskan oleh Menteri, tokoh tersebut kini telah memfailkan rayuan 29 Julai 2019 kepada Lembaga Rayuan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) bagi mencabar keputusan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia yang meluluskan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi PSR pada 25 Jun 2019.

Menurut sisipan Tambahan Perundangan Persekutuan AKAS 1974 (Akta 127) dalam Peraturan-peraturan KAS (Lembaga Rayuan) 2003, Peraturan 5 Perintah Lembaga Rayuan menyatakan;

“Lembaga Rayuan boleh, selepas menimbangkan apa-apa rayuan, membuat perintah sebagaimana yang difikirkannya adil dan patut.”

Ini bermakna kelulusan EIA bagi PSR masih ada ruang untuk ditarik balik atau dibatalkan.

Maka itulah harapan besar tokoh ini yang merupakan perayu yang mencabar keputusan tergesa-gesa yang dibuat oleh bekas Ketua Pengarah JAS Malaysia. Kelulusan disifatkan pelik apabila dibuat hanya dalam masa 2 hari bekerja selepas menerima daripada pihak Konsultan EIA.

Bermakna dalam masa 2 hari sahaja pegawai JAS mampu membaca semua penilaian Jawatankuasa Ulasan Teknikal EIA (EIA Technical Review Committee) dan segala maklum balas daripada khalayak awam yang memberi komentar.

Kepelikan dan ketergesaan itu menjadi lebih dicurigai apabila bekas Ketua Pengarah menurunkan tandatangan kelulusan pada hari akhir berkhidmat sebagai Ketua Pengarah JAS Malaysia. Apakah beliau mendapat tekanan untuk berbuat demikian masih menjadi tanda tanya yang besar sehingga sekarang?

Perjuangan belum selesai

Tokoh ini pernah ditanya kawan-kawan kedai kopi beliau, apakah benar PSR ini telah sah dibatalkan melalui kenyataan Menteri KASA (Kementerian Alam Sekitar dan Air) dalam Parlimen baru-baru ini.

Beliau menjawab ringkas berkata “Perjuangan belum selesai. Selagi tidak ada hitam putih yang jelas menyatakan projek ini dibatalkan secara rasmi, kita tak boleh bersuka ria lagi.”

Jawapan beliau adalah benar dan itulah kehebatan gerak hati beliau. Beberapa fakta teknikal penting yang perlu difahami berkaitan status terkini projek PSR ini adalah;

(1) PSR adalah projek milik kerajaan negeri dan kawasan yang terlibat PSR adalah dalam kuasa negeri. Maka kuasa membatal hanyalah negeri. Kebenaran Merancang bagi projek PSR adalah dalam kawalan Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) peringkat Negeri Pulau Pinang.

(2) Bidangkuasa kementerian peringkat Persekutuan hanya setakat boleh menghalang kelulusan EIA (bawah skop KASA) dan Rancangan Struktur Negeri yang mewartakan kewujudan 3 Pulau PSR melalui Majlis Perancang Fizikal Negara (bawah skop KPKT – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

Walaupun 2 fakta di atas kelihatan menyebelahi Kerajaan Negeri yang terus degil untuk meneruskan projek ini, 3 fakta di lain yang akan membantutkan pelaksanaan projek tersebut sekiranya rayuan terhadap kelulusan EIA dimenangi oleh tokoh ini yang mewakili 185 nelayan Sg Batu di Selatan Pulau Pinang.

(1) Kerajaan negeri sekarang perlukan kelulusan EIA untuk yakinkan pelabur. Pelabur penting untuk mengelakkan projek terbengkalai.

(2) Cubaan kerajaan negeri untuk memperkenalkan Bon peringkat negeri seolah-olah menjadi jalan buntu apabila ianya dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan.

Idea Bon ini terbit semula peringkat negeri apabila cubaan pertama memperkenalkan Bon peringkat Persekutuan telah gagal sama sekali sejurus tumbangnya Kerajaan Malaysia pimpinan koalisi politik Pakatan Harapan (PH).

Sekutu besar pihak berkuasa negeri Pulau Pinang yang merencana untuk kelulusan Bon Persekutuan yang menjadi Menteri Kewangan telah kuasa sekelip mata.

Selain Bon, bekas Menteri Kewangan tersebut juga membuat cubaan luar biasa bagi mendapatkan dana permulaan projek PSR melalui rundingan pindah milik konsesi 4 Lebuhraya milik Gamuda kepada Kerajaan Persekutuan. Rundingan ini bakal memberi margin keuntungan kepada Gamuda.

Untuk rekod, Gamuda adalah pemegang 60 peratus share daripada Konsortium SRS yang merupakan ‘Project Delivery Partner’ kepada kerajaan negeri yang melaksana projek PSR ini.

(3) Kemelesetan ekonomi di era wabak COVID-19 tak memungkinkan cita-cita pelaksanaan projek mega seperti PSR. Pelabur-pelabur pasti tak akan ambil risiko yang tinggi semata-mata untuk memenuhi angan-angan melangit pihak pelaksana projek. Selain itu, kontraktor-kontraktor yang bakal terlibat dalam projek ini nanti pasti memerlukan khidmat pekerja asing yang ramai. Apakah semudah itu projek ini dapat dilaksanakan sekarang?

Soal siapa menang dan siapa kalah dalam persaingan meneruskan atau menghalang projek Mega PSR ini masih menjadi rahsia Tuhan. Apa yang pasti perbandingan antara fakta-fakta yang dibentang di atas telah memberi sedikit kelegaan yang membuatkan senyuman manis kembali terukir di wajah tokoh ini. Beliau iaitu Zakaria Ismail tersenyum kerana doanya dan munajatnya menyerlahkan situasi hari ini yang memberi sinar.

Sinar hari ini bukan kerana kehebatan sesiapa. Ini kerana sebelum ini tidak siapa tahu Penang Tolak Tambak: Perjuangan belum selesai? perubahan kerajaan dan kehadiran wabak COVID-19 ini memberi kelebihan untuk membantutkan PSR. Ia mungkin sinar di sebalik musibah. Inilah berkat doa masyarakat tertindas ‘Doa Seorang Nelayan’.

ZIKRULLAH ISMAIL
Gerakan Penang Tolak Tambak
Mantan Pengerusi Pertubuhan Warisan Tanah & Teroka Bandar – TEROKA
Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam – LEKAS
Naib Pengerusi Gerakan Pembela UMMAH Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 4/8/2020

P/S:

‘Doa Seorang Nelayan’ adalah dokumentari yang mengisahkan mengenai penentangan kelas, pertembungan antara tradisi dan moden, dan campur tangan ala Machiavelli oleh orang politik – Zakaria berserah kepada Tuhan agar beliau diberi kekuatan dan kebijaksanaan untuk berdepan salah satu projek paling besar di bawah Malaysia Baharu. Filem ini diarahkan oleh Andrew Han yang juga merupakan aktivis Penang Tolak Tambak.

- Advertisement -