Hina mahkamah: Denda RM40k

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penghinaan terhadap mahkamah boleh disabitkan denda sehingga RM40,000 jika bersalah.

- Advertisement -

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, undang-undang kesalahan menghina mahkamah tertakluk kepada akta-akta yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Yang ada kepada mahkamah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 13 Akta Kehakiman, Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan juga Seksyen 99A Akta Mahkamah Rendah 1948 yang dibaca bersama perenggan 26 jadual ketiga.

“Tatacara pengendalian kes penghinaan mahkamah diperuntukkan sebagaimana di bawah Aturan 52 kaedah mahkamah 2012.

“Pada masa yang sama kes penghinaan mahkamah ini dikendalikan berdasarkan kuasa sedia ada tadi, menggunakan prinsip ‘Common Law Principle,” jelasnya.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut memberikan beberapa contoh kes penghinaan mahkamah di Malaysia yang telah dikendalikan oleh mahkamah.

“Antara kes yang diputuskan pada tahun 2012, kes Hoslan Hussein melawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mahkamah Persekutuan di mana tertuduh telah mengeluarkan kata-kata yang tidak wajar kepada mahkamah dan membaling kasut ke arah hakim, jadi beliau telah didapati menghina mahkamah.

“Kes yang terbaru (2019) yang melibatkan seorang peguam yang bernama Arun Kasi. Arun Kasi telah membuat kenyataan media dalam satu penerbitan NGO Aliran yang menyentuh mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Dalam kenyataannya peguam ini menyatakan bahawa demi kepentingan awam, beliau telah membuat laporan kepada SPRM untuk menyiasat serius anomali dalam keputusan mahkamah persekutuan dan beliau telah dihukum denda RM40,000 dan penjara selama 30 hari”, ujarnya.

Dato’ Takiyuddin Hassan (PAS – Kota Bharu) berkata demikian menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS – Kuala Krai) berkenaan peruntukan undang-undang mahkamah terhadap mana-mana individu yang melakukan penghinaan terhadap mahkamah. – HARAKAHDAILY 4/8/2020

- Advertisement -