Bakal miliki padang hoki bertaraf antarabangsa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penantian peminat sukan hoki di Kelantan untuk memiliki padang hoki bertaraf antarabangsa di negeri berkenaan bakal direalisasikan dalam tempoh terdekat.

- Advertisement -

Perkhabaran gembira itu dimaklumkan oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal yang mengadakan lawatan singkat ke Negeri Cik Siti Wan Kembang itu semalam, menurut KHM menerusi laman sesawangnya, www.mhc.org.my.

Menerusi pertemuan bersama perwakilan Persatuan Hoki Kelantan yang diketuai Presidennya, Mohammad Azam Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat di Kota Darulnaim di Kota Bharu, Subahan mengesahkan Kerajaan Negeri Kelantan telah mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan dua padang hoki.

Katanya, pembinaan dua padang hoki berkenaan akan disertakan di dalam pelan pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau, Kelantan, yang akan dibina menjelang Sukan Malaysia (Sukma) Kelantan 2024.

Pada masa sama, KHM turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang sentiasa memberikan sokongan penuh kepada badan induk sukan hoki itu, terutamanya dalam merealisasikan harapan peminat sukan hoki di Kelantan untuk memiliki padang hoki bertaraf antarabangsa. – BERNAMA

- Advertisement -