PKPD 4 mukim di Kedah

Sumber Facebook KKM
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini telah meluluskan permohonan Kerajaan Negeri Kedah untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di empat mukim negeri itu, mulai hari ini sehingga 30 Ogos 2020.

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan mengambil kira 11 kes baharu yang berpunca daripada kluster Sivagangga di Kedah.

- Advertisement -

“Kerajaan Negeri Kedah telah memohon untuk melaksanakan PKPD secara pentadbiran (TEMCO) di radius satu kilometer daripada Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh (Mukim Hosba, Kubang Pasu), Kampung Pida Satu, Megat Dewa (Mukim Ah, Kubang Pasu), Kampung Bendang Dalam (Mukim Binjal, Kubang Pasu) dan Kampung Ulu, Padang Sanai (PadangTerap),” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan PKPD secara pentadbiran akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan penutupan beberapa jalan utama di sekitarnya.

Ismail Sabri berkata, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia akan membuat ujian saringan ke atas kira-kira 7,000 penduduk di kawasan yang terlibat.

“Kawasan masjid dan rumah ibadat di dalam kawasan tersebut turut ditutup bagi aktiviti keagamaan termasuk solat Jumaat.

“Jemaah dibenarkan seramai tiga orang untuk melaksanakan solat jemaah di masjid tersebut,” katanya pada sidang akhbar PKPP, di Parlimen, hari ini.

Dalam perkembangan sama, seramai 3,000 penduduk di sekitar Pekan Napoh serta kontak rapat kluster PUI Sivagangga dijangka melakukan saringan Covid-19 sejak ia mula dikesan pada Selasa minggu lepas.

Setakat ini lebih 700 individu telah menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan Napoh daripada jumlah itu seramai 20 individu dilaporkan positif Covid-19, lain-lain negatif dan ada yang masih menunggu keputusan. – HARAKAHDAILY 3/8/2020

- Advertisement -